Jangkitan HMFD Sabah Meningkat Ketara Dalam Tempoh Sebulan

KOTA KINABALU: Jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Sabah menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh sebulan.

Peningkatan jangkitan ini dilihat ketara pada minggu epidemiologi ke-14 iaitu dari 3-9 April sehingga ke minggu epidemiologi ke-20 pada 15-21 Mei lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, dalam tempoh dua minggu ini, jangkitan HFMD di Sabah terus meningkat sehingga 111 peratus.

Berdasarkan rekod, hanya 333 kes HFMD dilaporkan pada dua minggu lalu dan jumlah itu meningkat kepada 702 kes pada minggu epidemiologi ke-20 iaitu dari 15 hingga 21 Mei.

Ia menjadikan kumulatif kes HFMD di Sabah setakat ini sebanyak 3,351 kes.

“Ini merupakan peningkatan yang sangat tinggi jika dibandingkan dengan 63 kes yang dilaporkan dalam tempoh masa yang sama pada tahun lalu.

“Lima daerah yang melaporkan kes tertinggi ialah Tawau dengan 541 kes, Sandakan 451 kes, Lahad Datu 325 kes, Papar 309 kes dan Kota Belud 269 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, setakat ini tidak ada kes kematian yang disebabkan oleh HFMD dilaporkan di Sabah.

Secara keseluruhan, 93.2 peratus kes yang dilaporkan melibatkan kanak-kanak yang berumur enam tahun dan ke bawah. Transmisi jangkitan majoritinya berlaku di rumah persendirian atau pusat-pusat pendidikan awal.

Katanya, antara aktiviti yang sedang dijalankan oleh pihak pejabat kesihatan daerah adalah mengadakan sesi Townhall bersama agensi berkaitan serta pengusaha-pengusaha pusat pendidikan awal.

Maka, saringan setiap hari terhadap kanak-kanak sebelum masuk sama ada ke pusat pendidikan awal sebagai langkah pencegahan bagi mengelak penularan jangkitan HFMD.

Menjelang musim perayaan Pesta Kaamatan yang bakal tiba, orang awam dinasihatkan untuk terus melaksanakan tindakan pencegahan dengan mengelakkan daripada bersentuhan, amalkan kerap mencuci tangan dengan sabun dan menjaga kebersihan diri.

Tambahnya, amalan ini bukan sahaja mengelakkan jangkitan HFMD malah jangkitan Covid-19.