‘Jangan Viral Maklumat Atau Video Tidak Sahih’ – Jaujan

91
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Rakyat di negeri ini diingatkan supaya lebih bertanggungjawab dalam menapis maklumat yang ditularkan dalam laman media sosial termasuk dalam kes membabitkan dakwaan lelaki mirip menteri terlibat dalam video ‘intim’ yang tular sejak Selasa.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan Datuk Jaujan Sambakong berkata, perkara yang ditularkan melalui media sosial cukup membimbangkan kerana ia mampu mengugat kesejahteraan yang dinikmati oleh rakyat pada hari ini.

“Orang (menteri) yang dituduh sudah menafikan tuduhan dengan menyatakan beliau menghadiri majlis bersama Yang DiPertuan Agong.

Jaujan.

“Kita perlu yakinkan orang-orang kita supaya lebih bertanggungjawab. Jangan tularkan perkara yang tidak betul.

“Sekiranya perkara yang disebarkan itu betul, biarlah ada laporan bagi membolehkan siasatan dilakukan secara telus, bukannya menularkannya,” tegasnya.

Menurutnya, orang-orang kampung juga percaya dengan apa ditularkan kerana melihatnya melalui media sosial. Namun, perkara yang ditularkan kebanyakan dilakukan oleh orang yang berilmu pengetahuan tinggi. Itu yang menyedihkan.

Keadaan sebegini perlu ada kesedaran dalam kalangan rakyat agar tidak mudah menyebarkan sesuatu maklumat yang tidak pasti kesahihannya.

Dalam kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Rabu, beliau menafikan sekeras-kerasnya pembabitan beliau dalam video lucah yang tersebar sejak Selasa.

Timbalan Presiden PKR itu menyifatkan video itu sebagai komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta ingin memusnahkan kerjaya politiknya.

“Saya yakin ini kerja jijik yang telah dimulakan beberala bulan lalu berdasarkan perkembangan politik semasa melalui intimidasi terhadap keselamatan diri dan keluarga pada minggu terakhir Ramadan serta tuduhan rasuah yang tidak benar dan tidak berasas.”Saya mengutuk sekeras-kerasnya ‘gutter politics’ (politik kotor),” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Jaujan juga mengingatkan media arus perdana agar tidak memberi penekanan kepada perkara yang tidak betul dalam melaporkan sesuatu.

Kes pembunuhan pemandu grab di Tuaran yang dilaporkan dilakukan oleh Pendatang Tanpa Izin (PTI) mencetus kemarahaan rakyat hingga Parti Warisan Sabah (Warisan) dikaitkan sekali lagi.

Walhal, jika dilihat kes itu, yang dibunuh itu warga tempatan dan yang membunuh juga adalah warga tempatan. Maka, media perlu lebih berhati-hati dalam melaporkan berita supaya tidak ‘highlight’ perkara tidak betul yang boleh memudaratkan keharmonian rakyat di negeri ini.