Jangan Tertipu Dengan Lantikan Sebagai Sub-Kontraktor Pengorekan Pasir

3056

Oleh SHANE SHAH
KOTA BELUD: Tiada sebarang lantikan sub-kontraktor ditawarkan bagi kerja-kerja pengorekan serta pengambilan batu dan pasir di Sungai Kadamaian pada masa ini.

Berikutan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya dengan tawaran lantikan sub-kontraktor yang dilakukan oleh mana-mana pihak.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Junz Wong berkata demikian setelah menerima aduan bahawa ada pihak yang telah melantik sub-kontraktor serta ada syarikat didapati memasuki kawasan yang dimaksudkan.

“Kita telah menggantung semua kerja-kerja di Sungai Kadamaian, Kota Belud sejak 18 Mei 2018,” kata Junz.

“Tiada kerja boleh dimulakan sehingga kertas cadangan rekabentuk kerja telah diputuskan serta diluluskan,” katanya.

Dengan itu, Junz meminta kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Tanah dan Ukur untuk menyiasat dan bertindak segera sekiranya dakwaan itu didapati benar.

Sg Kadamaian telah terjejas oleh gempa bumi pada tahun 2015 dan ini telah mempengaruhi sumber air terutamanya di sekitar daerah Kota Belud.

Oleh itu, kerja pengorekan dan pengambilan batu dan pasir perlu dilaksanakan bagi memulihkan keadaan sungai berkenaan.

Sebelum ini, surat setuju terima telah dikeluarkan kepada Warisan Teguh Gemilang Sdn Bhd, namun kerja-kerja telah digantung disebabkan beberapa keperluan teknikal belum dipenuhi.

Sebarang kontraktor termasuk syarikat Warisan Teguh Gemilang Sdn Bhd dilarang sama sekali memasuki kawasan tersebut dan membuat kerja pengorekan serta pengambilan batu dan pasir.

Maka, sesiapa yang berbuat demikian akan dianggap memasuki kawasan itu secara haram dan mencuri, sekiranya tiada kebenaran daripada pihak berwajib.

“Saya minta orang ramai terus bekerjasama dan melaporkan kegiatan yang mencurigakan di kawasan Sungai Kadamaian,” ujar Junz.