Jangan Terpengaruh Dakwaan Pembangkang, KDM Perlu Sokong Kerajaan

346
Penduduk tempatan mengambil peluang bergambar bersama Shafie dan Peter ketika Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di Pisompuruan Square semalam.

TAMBUNAN: Masyarakat Kadazan Dusun dan Murut (KDM) diseru menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk mentadbir Sabah serta tidak terpengaruh dengan propaganda pembangkang yang memainkan isu perkauman dan membuat tuduhan palsu.

Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Peter Anthony berkata, beliau sendiri serta pimpinan negeri akan berusaha membela kaum KDM kerana mereka adalah anak jati negeri ini sejak sekian lama.

Menurut beliau, pihak pembangkang kini memainkan segala isu seperti pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) serta kononnya kerajaan tidak membela kaum KDM agar timbul perasaan benci kepada pimpinan negeri.

Peter bersama Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan Ketika majlis pelancaran Kolej Komuniti Tambunan.

“Apabila sudah tiada perkara mahu dicakapkan, pembangkang kini memainkan isu mengagung-agungkan kaum Dayak di Sabah sedangkan dalam sejarah negeri kita Dayak bukan berasal di Sabah.

“Sebelum ini kita di Tambunan belum ada pemimpin yang betul-betul membela kaum KDM jadi kenapa sekarang mahu memperjuangkan kaum Dayak pula sepatutnya kita mengangkat martabat KDM,” kata Peter ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di Pisompuruan Square semalam.

Majlis tersebut yang dihadiri kira-kira 4,000 rakyat dirasmikan Ketua Menteri.

Peter berkata, dakwaan kononnya kerajaan negeri memberikan kad pengenalan kepada PATI juga bertujuan menimbulkan rasa marah masyarakat KDM sedangkan kuasa memberi dokumen berkenaan bukan berada di tangan Ketua Menteri.

Tambahan pula tegasnya, masalah PATI telah wujud di Sabah sejak berpuluh tahun lalu hasil peninggalan kerajaan lama manakala Parti Warisan Sabah pula baru setahun memerintah negeri ini.

“Ketua Menteri tiada kuasa berikan kad pengenalan, kerajaan negeri pun tiada kuasa apa yang kita mahu ialah merekodkan PATI ini supaya tahu siapa mereka, di mana mereka tinggal dan boleh periksa jika ada penambahan.

“Ini adalah usaha kita untuk mengesan mereka dan hantar balik, tuduhan beri kad pengenalan perlu kita sanggah,” tegasnya.

Peter berkata, justeru sudah tiba masanya untuk KDM bersatu dan menyokong kerajaan serta pemimpin yang dipilih untuk membangunkan Tambunan serta negeri Sabah.

Tambahan pula katanya, di Tambunan Ketua Menteri telah berjanji akan membangunkan industri penanaman halia kerana daerah itu terkenal dengan pengeluaran sumber makanan itu.

“Berikan masa kepada Ketua Menteri untuk membantu rakyat, beliau akan pastikan ada keadilan dan kesamarataan dalam memberla semua kaum di negeri ini,” jelas beliau.