Jangan Takut Ugutan Pihak Luar – Calon Warisan Sg Manila

Gambar-gambar ehsan Syafiq Rahim

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Bekas pensyarah, Prof Dr Mahmud Sudin menggesa pengundi agar memilih parti yang bersifat ‘people centric’ agar rakyat Sabah tidak lagi dikuasai pihak luar pada 26 September ini.

Calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Prof Dr Mahmud Sudin yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila berkata, rakyat khususnya pengundi di kawasan itu tidak perlu takut dengan pihak luar jika ingin Sabah terus dipimpin rakyat negeri ini.

“Kita tidak perlu orang luar ‘remote’ kita. Parti WARISAN sudah terbukti tulus dan ikhlas memimpin negeri ini.

“Jangan sia-siakan peluang keemasan untuk manfaatkan hak kita sebagai warganegara pada Sabtu ini,” katanya.

Terdahulu, Mahmud membuat tinjauan mesra di sekitar Pasar Batu 8 di sini untuk bertemu pengundi dan golongan peniaga.

Mahmud berkata, biarpun baru pertama kali bertanding dalam pilihan raya, dia yakin namanya dikenali kerana beliau adalah anak jati Sungai Manila dan pernah menjadi ikon Sabah sekitar 1980-an ketika menganggotai kumpulan kugiran sebagai pemain gitar utama dikenali ‘jari jari gila’.

Katanya, beliau berazam untuk menggunakan pengalamannya sebagai pensyarah dan kepakarannya dalam penyelidikan untuk memajukan kawasan DUN Sungai Manila jika diberi mandat pada PRN itu.

“Dalam penyelidikan, kita tahu apa objektif kita dan ini boleh digunakan untuk memahami apa sebenarnya denyut nadi rakyat supaya apa yang kita lakukan itu nanti beri manfaat kepada rakyat,” katanya.

Mahmud berkata, memasuki hari ketujuh berkempen, pengundi memberikan reaksi positif kepadanya dan lebih terbuka untuk berkongsi keluhan mereka memandangkan beliau berasal daripada kawasan itu.

“Antara yang mereka utarakan adalah mengenai masalah seperti gangguan bekalan air, elekrik, jalan tidak berturap, isu pemilikan tanah, saliran air dan sebagainya,” katanya.

Mahmud bakal berdepan saingan daripada calon Barisan Nasional (BN), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) pada 26 September ini.

Mahmud, 58, adalah bekas pensyarah dalam bidang perlindungan perhutanan di Kolej Universiti Yayasan Sabah dan pernah bertugas di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Mahmud berkata, biarpun yakin sokongan rakyat terhadap parti semakin kukuh di kawasan itu, beliau tidak memandang remeh terhadap pihak lawan.

“Dalam politik, hari demi hari pihak tertentu ada strategi yang mereka sudah biasa dengan pengundi. Saya tidak pandang remeh cabaran itu tapi saya bekerja keras untuk memenangi kerusi ini.

“Tumpuan saya adalah berjumpa pengundi rumah ke rumah, selain membuat ceramah berkelompok untuk memberi penjelasan kepada pengundi mengenai kepentingan memastikan kemenangan WARISAN di negeri ini,” katanya.