Jangan Remehkan Perlembagaan Negeri, Jelaskan Keabsahan Hajiji – Warisan

KOTA KINABALU: Kenyataan Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick memberi gambaran seolah-olah kerajaan meremehkan pematuhan Perlembagaan Negeri berkaitan isu keabsahan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

Ketua Wanita Parti Warisan (Warisan) Norazlinah Arif berkata, Ewon meminta agar pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) jadi keutamaan dan bukannya menggulingkan kerajaan pada pertengahan penggal.

Namun, dalam memberi perhatian terhadap perjuangan MA63, pematuhan terhadap Perlembagaan Negeri tidak boleh diremehkan dan mengambil sikap terpilih dalam mendaulatkan perlembagaan.

“Sekiranya Perlembagaan Negeri Sabah seperti Perkara 6(7) dan Perkara 6(3) dilanggar sewenang-wenangnya, bagaimana kita hendak memperjuangkan MA63?.

“Kita tidak boleh mengambil sikap terpilih dalam pematuhan peraturan dalam perlembagaan dengan mematuhi perkara yang kita lihat memberi manfaat kepada golongan kita sebaliknya mengabaikan serta melanggar perkara yang tidak memihak kepada kita. Bersikap adil kepada rakyat.

“Saya menyeru agar pihak kerajaan tampil memberi penjelasan dalam penafsiran Perkara 6(7) dan Perkara 6(3) dan merungkai kekeliruan agar keabsahan kerajaan yang ada tidak lagi meragukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak itu berkata, ramai yang melihat dan menganggap kemelut politik Sabah yang terjadi baru-baru ini telah pun selesai selepas pengguguran beberapa anggota Kabinet Negeri disusuli perlantikan anggota Kabinet baharu.

Hakikatnya perlantikan tersebut hanya dilihat sebagai satu tindakan Datuk Seri Hajiji Noor untuk menyingkirkan pesaingnya melalui jajaran politik dengan membawa masuk ADUN Pakatan Harapan (PH) dalam Kabinetnya.

“Namun, perkara yang mendasari kemelut tersebut iaitu tentang keabsahan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah mengikut tafsiran Perlembagaan Negeri Sabah masih tidak diperjelaskan oleh sesiapa termasuk oleh pihak kerajaan sendiri.

“Mereka sebaliknya menafikan perkara itu tanpa disokong dengan fakta.

“Perkara 6(3) dibaca dengan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah, yang menyatakan bahawa Ketua Menteri hendaklah dari ketua parti yang mendapat majoriti bilangan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah masih tidak diperjelaskan dengan baik,” ujarnya.

Menurut beliau, pada dasarnya, Hajiji tidak lagi mewakili mana-mana parti mahupun mengetuai parti politik yang sah.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya didaftar sebagai sebuah gabungan dan ia bukan parti politik menurut perlembagaan. Justeru keabsahan Hajiji sebagai Ketua Menteri adalah meragukan dan perlu diperjelaskan.