Jangan Pertikai Pemerintahan Warisan Yang Hanya 2 Tahun – Shafie

BELURAN: Pembangkang kerap mempertikaikan apa yang dilakukan kerajaan Warisan dalam tempoh dua tahun memerintah.

Namun, tempoh singkat itu sudah cukup membuktikan kebolehan Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam menyelesaikan isu rakyat dan hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, pembangkang kerap mempersoal apa dilakukan Warisan bersama Pakatan Harapan dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dalam tempoh dua tahun ini.

Namun, mereka tidak nampak usaha pemansuhan geran komunal, penyelesaian 17 daripada 20 perkara dalam MA63, geran khas dalam belanjawan kepada Sabah serta cukai lima peratus terhadap produk petroelum.

Itu antara usaha dilakukan kerajaan pimpinan Warisan yang didakwa gagal melakukan pembangunan di Sabah.

Dalam isu geran tanah pula, Presiden Warisan ini berkata, tidak dinafikan kerajaan dahulu ada memberikan tanah tapi mereka turut merobohkan rumah orang kampung bagi mengambil tanah yang dikatakan berada dalam tanah rizab kerajaan.

“Perkampungan orang kampung yang sudah berpuluh tahun memohon geran, tidak diluluskan.

”Tapi, di bawah Warisan,  semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu, saya mengumumkan pembubaran hutan simpan bagi memberi tanah kepada orang kampung yang berhak.

“Itu pun mereka tanya apa Warisan telah lakukan?. Kita tuntut 20 perkara dalam MA63 dan Tun Mahathir telah luluskan 17 perkara.

“Mereka perintah berpuluh-puluh tahun, apa yang mereka lakukan?,” katanya semasa berucap sempena Majlis Penyerahan Geran Tanah di Beluran, hari ini.

Untuk tuntutan 20 peratus royalti minyak pula, ia akan diteruskan bagi mendapatkannya daripada kerajaan persekutuan.

Tambahnya, usaha menuntut hak Sabah itu bukan bermakna beliau tidak sayangkan Malaysia tapi, dalam memerintah negara, perlu pastikan hati dan jiwa rakyat disentuh.

Dalam tempoh itu juga, Warisan berjaya membangunkan dua kilang minyak masak yang mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan.