Jangan Panik, Stok Vaksin Influenza Akan Ditempah

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan mengingatkan orang ramai agar tidak panik dengan khabar angin mengatakan vaksin pencegah virus Influenza A (H1N1) di seluruh negeri kehabisan.

Pengarahnya, Datuk Dr. Christina Rundi ketika dihubungi Borneo Today berkata, jika kehabisan, klinik-klinik swasta akan membuat tempahan untuk penambahan stok.

“Tidak perlu panik. Selain vaksin, ada langkah lain yang boleh diambil.

“Saya rasa klinik swasta yang habis vaksin akan buat tempahan juga itu,” katanya  melalui aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, tinjauan wartawan Borneo Today di Klinik Pakar Kanak-Kanak Putatan petang ini mendapati bekalan vaksin di situ kehabisan.

Kakitangan di klinik tersebut berkata, jumlah permintaan vaksin meningkat sejak akhir-akhir ini, justeru meminta ibu bapa yang datang membawa anak ke klinik itu meninggalkan nombor telefon untuk dihubungi jika stok baharu tiba.

Tinjauan yang dilakukan mendapati Poliklinik Permai di Putatan turut tidak mempunyai stok vaksin berkenaan.

Mengulas perkara itu, Christina berkata, keadaan di negeri ini terkawal dan menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah-langkah bagi mengelak penyakit berkaitan sistem pernafasan.

“Ya, mencegah lebih baik daripada mengubati dan banyak cara untuk mencegah bukan sahaja untuk H1N1 tetapi utk penyakit lain yang melibatkan sistem pernafasan,” katanya.