Jangan Panik Pengsytiharan Darurat – Ketua Armada

KOTA KINABALU: Ketua Armada BERSATU negeri Sabah, Fairuz Renddan menyeru semua rakyat Sabah untuk terus mengikuti perkembangan semasa dan tidak panik dengan pengisytiharan darurat.

Beliau berkata, pengisytiharan darurat itu adalah bertujuan untuk membantu pihak kesihatan dan kerajaan membendung penularan Covid-19.

“Usah panik dan risau kerana pengisytiharan darurat yang diumumkan adalah pengumuman rasmi dan darurat ini adalah berpunca daripada masalah kesihatan.

“Kita sebagai rakyat, terus beri kerjasama, patuh dengan semua prosedur operasi standard (SOP) yang disaran oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan demi kebaikan rakyat kita,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pada saat begini, semua pihak wajar bekerjasama dan peka dengan keadaan persekitaran.

“Dalam saat genting begini, kita di Sabah menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi jadi, amat perlu untuk kita terus bersatu hati dan peka dengan keadaan sekeliling.

“Jika ada saudara-mara, jiran tetangga atau kenalan yang mengalami masalah seperti terputus bekalan makanan, ubat-ubatan atau lain-lain keperluan, bantulah semampunya dan jika tidak berkemampuan, adukan kepada pihak-pihak berwajib dan wakil-wakil di kawasan anda, seperti ketua kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan wakil rakyat,” katanya.

Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan berkata, beliau meminta semua pihak yang bertanggungjawab terus memastikan kebajikan rakyat sentiasa didahulukan dan pemantauan berterusan diadakan.

“Kita mahu pastikan semua rakyat Sabah berada dalam keadaan yang baik sepanjang tempoh PKP selama dua minggu ini dan semoga semua pihak dapat terus bekerjasama bagi memastikan usaha kerajaan negeri untuk membantu rakyat yang terjejas dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Saya yakin kita semua mampu mengharungi semua dugaan ini bersama sekiranya kita terus bersama, sehingga kita berjaya melenyapkan Covid-19 dari bumi Sabah dan negara tercinta Malaysia,” ujarnya.