Jangan Kaitkan Parti Warisan Dengan JPN Atau Urusan Beri MyKad

180
Gambar Facebook

Oleh LORETTO PADUA
KENYATAAN: Parti Warisan Sabah mengecam sekeras-kerasnya tindakan sesetengah pihak yang mengaitkan Warisan didalam apa-apa urusan yang melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara seperti yang telah tular di media sosial.

Saya selaku Setiausaha Agung menafikan penglibatan Warisan didalam apa-apa pengurusan yang melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara kerana bukan menjadi tugas kami untuk berurusan dengan mereka.

Saya mengakui yang jika dilihat daripada gambar borang tersebut tidak jelas apa sebenarnya tujuan borang tersebut diedarkan kerana tidak ada tertulis pada borang tersebut, namun daripada gambar-gambar lain yang sama-sama tular di media sosial, ada ditunjukkan resit permohonan MyKad.

Warisan sejak dari awal lagi mengecam tindakan sesetengah pihak yang bertindak menyalahi undang-undang dengan memberikan Mykad kepada Pendatang Tanpa Izin (PTI).

LORETTO PADUA

Saya ingin menjelaskan disini bahawa Warisan tidak pernah terlibat dan dengan mengaitkan logo Warisan pada borang kerajaan adalah satu fitnah kepada Warisan yang bertujuan untuk memburuk-burukan Warisan serta pemimpin-pemimpinnya dan kemungkinan juga wujud sindiket-sindiket tertentu yang ingin mengaut keuntungan dan pada masa yang sama mengaibkan Warisan.

Sabah adalah milik anak-anak Sabah dan bukan milik ekslusif Warisan atau penyokongnya sahaja. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita semua sebagai anak-anak Sabah untuk menjaga kedaulatan Sabah. Kita di Sabah telah lama menderita akibat daripada tindakan memberikan IC Projek oleh kerajaan sebelum ini dan kita sedia maklum bahawa kuasa untuk memberikan Warganegara/ Mykad terletak atas kuasa kerajaan.

Kita bukannya ingin menuduh mana-mana pihak tetapi sekiranya kita berdepan atau terjumpa situasi meragukan seperti ini, tampillah ke depan dan laporlah kepada pihak berkuasa agar tindakan tegas dapat diambil.

Rakyat perlu diingatkan bahawa semasa pemerintahan BN dahulu, RCI berkenaan dengan Pendatang Tanpa Izin dan Projek IC telah ditubuhkan namun tidak ada penyelesaian dan tindakan susulan oleh mereka yang telah dipertanggungjawabkan.

Kenapa harus Warisan disalahkan didalam hal ini? Kerajaan Negeri yang ada sekarang adalah hasil daripada gabungan Warisan, PKR, DAP dan UPKO dan sekiranya wujud pemberian warganegara atau Mykad kepada PTI, adakah komponen-komponen parti dalam kerajaan Negeri akan berdiam?

Oleh itu, saya memberi ingatan kepada parti-parti pembangkang yang sering menuduh kerajaan di media-media sosial bahawa isu PTI dan Projek IC ini telah lama wujud dan kamu telah diberi peluang oleh rakyat untuk menjadi kerajaan dengan harapan permasalahan ini dapat diselesaikan.

Ternyata selama kamu berkuasa kamu telah gagal menyelesaikan masalah bahkan kamu bersekongkol dengan pemberian projek IC itu sendiri dan lebih penting bekas Ketua Menteri, Musa Aman tidak pernah membuat penafian berkenaan dengan penglibatannya didalam projek IC seperti didalam buku yang ditulis oleh Dr. Chong Eng Leong.

* Loretto Padua ialan Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah