Jangan Jadikan SPRM Alat Menindas Pembangkang

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) diingatkan supaya tidak mempergunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai alat bagi menindas pembangkang.

Hal ini berikutan seorang demi seorang pimpinan pembangkang dipanggil untuk disiasat dengan cara yang langsung tidak profesional.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Taqiuddin Cheman berkata, Wisma Parti AMANAH Negara turut digeledah baru-baru ini oleh pihak SPRM tanpa memberikan waran kepada pihak keselamatan pejabat.

“Tindakan tersebut disusuli dengan permohonan reman terhadap Mohd Azhar bin Che Mat Dali. Tindakan ini pada hemat kami amat keterlaluan kerana tiada keperluan untuk memohon reman melainkan Azhar tidak memberikan kerjasama apabila dipanggil oleh pihak SPRM.

“Penindasan ini bukan sahaja dilakukan terhadap barisan pimpinan pembangkang di Semenanjung, tetapi juga di Sabah.

“Pimpinan Parti Warisan Sabah disiasat atas kes lama yang telah selesai dan pada masa yang sama, bekas Ketua Menteri Sabah dibebaskan dari segala tuduhan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, semua ini dilakukan seolah-olah bagi memberi gambaran buruk terhadap Pakatan Harapan dan Warisan, selain cubaan ‘membeli’ sokongan daripada pemimpin pembangkang menjelang 13 Julai ini.

Tambahnya, Ahli-ahli Parlimen yang gagal ‘dibeli’ dengan ‘scheme of thing’, kini diugut dengan SPRM agar sokongan diberikan kepada PN.

Taqiuddin berkata, laporan SPRM yang dibuat oleh pihak pembangkang pula seolah-olah tidak dipedulikan apabila tiada respon daripada pihak SPRM malah, makluman menerima aduan pun tidak diberikan kepada pihak pengadu.

Justeru, Pemuda AMANAH Nasional melihat PN menjadikan SPRM sebagai alat menekan pihak pembangkang.

Katanya, tindakan PN memperalatkan SPRM pastinya akan menyebabkan kredibiliti SPRM sebagai badan bebas yang dipercayai akan terjejas.