Jangan Jadikan Ramadan Platform Sebar Fitnah Terhadap Kerajaan

142

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SEMPORNA: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal melahirkan kesedihan apabila melihat sesetengah kumpulan politik menggunakan bulan Ramadan untuk menyebarkan dakwaan palsu terhadap Kerajaan Sabah dibawah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Beliau berkata, kumpulan itu dilihat menyebarkan fitnah terhadap Kerajaan Sabah dan Warisan dengan mendakwa kerajaan mengeluarkan Kad Pengenalan (IC) kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

”Jangan sebarkan fitnah hanya untuk mendapatkan mata dalam bulan ini. Tiada guna berpuasa sekiranya tindakan kita tidak seiring dengan perbuatan.

”Kenapa perlu membangkitkan kebencian terhadap manusia dengan menyebarkan berita palsu melalui media sosial,” katanya kepada orang ramai yang hadir dalam Majlis Berbuka Puasa di Perkarangan Masjid Ar-Rahman, Semporna, di sini pada Jumaat.

Mohd Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna ini berkata demikian merujuk kepada dakwaan palsu terbaharu yang disebarkan dalam media sosial yang mana, beberapa warga asing didakwa memohon IC Malaysia melalui dokumen yang didakwa dikeluarkan kerajaan dengan logo Warisan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman serta Jabatan Pendaftaran Negara telah menafikan kewujudan program yang membolehkan PATI mendaftar sebagai warga negara Malaysia.

Kedua-dua pihak turut memaklumkan bahawa borang yang mempunyai logo kerajaan itu adalah borang lama dan tidak lagi digunakan oleh jabatan berkenaan.

Berikutan itu, anggota Warisan telah membuat laporan polis berkenaan dakwaan berkenaan dan tidak menafikan perkara itu dilakukan oleh pihak pembangkang yang tidak putus-putus membuat dakwaan tidak berasas bahawa Warisan sedang aktif menjadikan warga asing sebagai rakyat Malaysia.

Mohd Shafie berkata pelbagai kaedah dilakukan pihak tertentu, misalnya baru-baru ini mengaitkan dirinya sebagai pengeluar kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin di negeri ini.

“Walaupun dalam bulan yang baik (Ramadan), mereka memfitnah, saya dilabel sebagai pengeluar kad pengenalan, mana ada saya kuasa untuk mengeluarkan kad pengenalan, kalau saya ada kuasa, sudah beribu kad pengenalan keluar di Semporna.

“Tetapi saya bukan ada kuasa, yang berkuasa Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Dalam Negeri, Kerajaan Pusat bukan Kerajaan Sabah, bukan Ketua Menteri,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap, masyarakat tidak percaya kepada fitnah berkenaan.

”Sebagai Ketua Menteri untuk semua rakyat Sabah, bukan hanya di Semporna mahupun masyarakat Muslim, saya memberi jaminan bahawa pembangunan di seluruh Sabah yang sedang dirancang akan dilaksana tidak lama lagi,” ujarnya.

Untuk itu, beliau menggesa semua pihak berhenti berpolitik dan sama-sama berkerja untuk masa depan Sabah yang lebih baik.

Majlis Berbuka Puasa anjuran Ketua Menteri selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Senallang itu dihadiri kira-kira 2,000 orang termasuk masyarakat bukan Islam.

Mohd Shafie turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak fakir miskin dan pelajar sekolah dari keluarga yang susah.

Sumbangan-sumbangan itu diberikan melalui Tanggungjawab Sosial Korporat Sabah Energy Corporation dan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah.

Majlis anjuran bersama Sabah Energy Corporation, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah, Khidmat Parlimen Semporna itu diakhiri dengan solat isyak dan solat Terawih berjemaah di Masjid Ar-Rahman, Semporna.