Jangan Jadikan Kemiskinan Abai Pendidikan Anak-Anak – Samsudin Yahya

Samsudin, dua dari kiri, menyerahkan sumbangan mesin cuci kepada penerima terdiri wanita muda.
Samsudin, dua dari kiri, menyerahkan sumbangan mesin cuci kepada penerima terdiri wanita muda.

SANDAKAN – Ibu bapa diminta jangan menjadikan kemiskinan sebagai alasan untuk mengabaikan pendidikan anak-anak kerana tindakan itu akan menyebabkan kehidupan keluarga kekal di takuk lama.

Adun Sekong, Datuk Samsudin Yahya berkata, ibu bapa sepatutnya menjadikan pendidikan sebagai agenda penting untuk mengangkat status keluarga masing-masing.

Beliau juga menegur sikap segelintir ibu bapa yang lebih mementingkan perkara lain termasuk rokok daripada menyediakan buku pelajaran anak-anak sedangkan pelajaran merupakan aset penting bagi menjamin masa depan.

”Keluarga dari kaum lain sangat berusaha memajukan keluarga mereka melalui pendidikan berikutan kerajaan menyediakan prasarana pendidikan yang bertaraf dunia untuk rakyatnya ini,” katanya.

Beliau berucap Program ‘We Care’ Puteri Prihatin di Sandakan kelmarin. Turut hadir sama Ketua Puteri UMNO Batu Sapi, Hazulizah Mohd Dani dan ahli jawatankuasa Puteri UMNO Batu Sapi.

“Pelajar datang dari keluarga miskin jangan sesekali berhenti sekolah, namun hadapi cabaran dengan tabah agar dapat menjadi insan berjaya di kemudian hari.

We Care Puteri Prihatin bersama murid-murid sekolah dengan beg sekolah masing-masing.
We Care Puteri Prihatin bersama murid-murid sekolah dengan beg sekolah masing-masing.

“Saya faham ia bukan suatu perkara yang mudah, sebagai ibu bapa juga harus berkorban untuk memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pendidikan anak-anak.

“Kita mempunyai sekolah terbaik, pengajar terbaik, pelajar terbaik dan kemudahan yang lengkap, tetapi paling penting adalah penglibatan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak.

“Sebagai ibu bapa, kita harus sentiasa mengawasi tingkah laku dan disiplin anak-anak untuk menjadikan mereka seorang yang berjaya dan bertanggunjawab di kemudian hari,” ujarnya.

Dalam majlis itu, Ketua Puteri UMNO Batu Sapi, Hazulizah Mohd Dani berkata pada program kali ini We Care ‘Puteri Prihatin’ merupakan kesinambungan beberapa program yang diadakan untuk mengenal pasti pengundi wanita muda dan juga mendaftar mana-mana wanita muda dan generasi yang belum mendaftar sebagai pengundi.

Di zon kepulauan dalam Dun Sekong Puteri UMNO Batu Sapi telah menjelajah ke Pulau Tronglit, Pulau Sirabut dan Kampung Baru untuk menyampaikan sumabangan kepada 47 penerima iaitu 3 buah mesin cuci, sumbangan beg sekolah kepada 32 pelajar sekolah rendah, barangan dapur kepada 12 orang penerima,

Sementara itu, di Dewan Segaliud, Puteri UMNO Batu Sapi turut mengagih-agihkan sumbangan kepada 40 orang penerima iaitu 5 buah mesin cucu, 35 buah beg sekolah untuk murid-murid SK Segaliud, Sandakan.