Jangan Jadi ‘Yes Boss’, Wira Warisan Perlu Kritik Kesilapan Kepimpinan

Azis Jamman memberi ucapan di Persidangan Agung Tahunan Warisan 2018/2019 Sabtu.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah mengingatkan agar barisan kepimpinan baharu Wira yang dipilih dalam pemilihan parti supaya tidak menjadi pemimpin ‘Yes Boss’ semata-mata.

Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, parti itu membuka ruang seluas-luasnya untuk pemimpin muda mengkritik pentadbiran kerajaan asalkan kritikan tersebut membina dan mampu memperbaiki kelemahan yang berlaku.

Tegas beliau, rakyat Sabah melihat gerak kerja parti justeru untuk mempertahankan sokongan, pemimpin yang dipilih mentadbir kerajaan perlu ditegur dan menerima teguran itu serta memperbaiki kesilapan.

“Wira Warisan bukan hanya pada nama, bukan hanya angkat bendera atau tukang sorak tetapi pelengkap kepada kesinambungan kepimpinan parti, belajarlah daripada sejarah biarlah kita mengkritik yang membina untuk kerajaan bukan perpecahan.

“Kalau ada tidak puas hati, saya bagi ruang kritik kerajaan kerana yang penting kritikan itu untuk kesejahteraan negeri Sabah, jangan hanya jadi pemimpin Yes Boss, hanya goyang kaki,” katanya ketika berucap dalam perasmian Persidangan Agung Tahunan Warisan 2018/2019 Sabtu (May 4, 2019).

Azis yang menang tanpa bertanding jawatan itu mengambil contoh kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang hanya selepas hilang sokongan rakyat barulah beliau mengakui kegagalannya adalah kerana tidak menegur Presiden UMNO.

Sehubungan itu, beliau yang merupakan Menteri Dalam Negeri berkata, barisan baru kepimpinan Wira mempunyai tanggungjawab berat untuk memastikan parti itu dapat bekerja untuk rakyat.

Tegasnya, selepas pemilihan semua yang dipilih perlu bersatu hati kerana tanggungjawab utama adalah bukan untuk parti tetapi berjumpa rakyat dan membela nasib rakyat.

“Tanggungjawab berat Wira ialah kita kena bantu kepimpinan, turun ke bawah terangkan pada rakyat khususnya anak muda kerana ini penting untuk kekalkan Warisan sebagai tunjang negeri Sabah.

“Warisan ditubuhkan atas titisan air mata rakyat Sabah, jangan sia-siakan amanah yang diberikan rakyat kerana parti ini milik rakyat,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Azis berharap mana-mana bekas ketua Wira bahagian yang kalah supaya tidak bermasam muka sebaliknya tetap teguh bersama kepimpinan demi meneruskan perjuangan.

“Ini merupakan pemilihan kekeluargaan, yang menang tidak menang semuanya yang kalah tidak kalah semuanya, apa yang penting kita rapatkan saf perjuangan dan fokus perjuangan rakyat Sabah.

“Pemilihan parti hanyalah satu proses yang perlu dalam mana-mana parti politik yang mendokong demokrasi, jangan kerana ghairah jawatan kita lupakan perjuangan susah kita selama tiga tahun ini,” tambahnya.