Jangan campur adukkan politik dan agama – Adun Liawan

841
Jangan campur adukkan politik dan agama - Sairin.
Jangan campur adukkan politik dan agama – Sairin.

OLEH AMAN KASSIM
KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan N.34 Liawan Datuk Haji Sairin Haji Karno mengingatkan masyarakat pelbagai kaum dan anutan agama di kawasan ini agar jangan campur adukkan politik dan agama.

Katanya, masyarakat di negeri ini khususnya di kawasan Pedalaman hidup dalam suasana yang harmoni walaupun terdiri dari pelbagai kaum dan anutan agama.

“Suasana harmoni ini perlu dikekalkan agar ia dapat diwarisi oleh generasi akan datang” katanya semasa berucap pada Program Membara Santai Bersama Pemimpin kelolaan Biro Pendidikan Umno Bahagian Keningau di Kg. Bariawa Tengah dekat sini.

Sairin yang juga Pembantu Menteri Pertanian Dan Industri Makanan berkata, jangan terikut-ikut dengan budaya pembangkang yang memainkan isu agama dan menaburkan fitnah kepada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional.

“Pembangkang hanya bercakap banyak dan membangkitkan perkara-perkara yang menimbulkan kemarahan rakyat kepada pemimpin-pemimpin kerajaan, walhal tidak berasas” katanya.

Tegasnya, kebanyakan pemimpin pembangkang memang pandai bercakap tetapi tidak pernah menyumbang apa-apa kepada penduduk kampung.

Dalam masa yang sama Sairin menggesa agar rakyat di kawasan ini memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada BN bagi kelangsungan program pembangunan yang telah dirancang kerajaan.

Pada majlis itu Sairin meluluskan peruntukan pelerai padi RM3,000.00, barangan dapur RM2,500.00, membiayai pembersihan pokok tepi jalan ke Kg. Bariawa RM5,000.00 dan pembinaan jambatan simen sungai Bariawa RM12,000.00.

Hadir sama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Liawan Shanif Jamil dan pemimpin-pemimpin masyarakat di kawasan itu.