Jangan Biarkan Persekutuan Terus Nikmati 95 Peratus Minyak Sabah

Oleh AZIS KHAN
BONGAWAN: Masihkah rakyat mahu membiarkan pemimpin parti Malaya dan Kerajaan Persekutuan terus menikmati 95 peratus daripada hasil minyak Sabah, manakala hanya 5 peratus diserahkan kepada negeri ini?

Bukan setakat itu, semua kerja keras rakyat Sabah menanam sawit tetapi hasilnya dikenakan cukai dan masuk ke dalam poket Kerajaan Persekutuan serta tidak dikembalikan ke Sabah.

Itulah hakikatnya dasar pemerintahan yang diamalkan Kerajaan Persekutuan selama ini sejak Malaysia dibentuk pada tahun 1963, menyebabkan Sabah masih ketinggalan daripada pelbagai sektor pembangunan.

Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini adalah peluang untuk rakyat Sabah menamatkan segala kemungkaran Persekutuan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita kena sedar dan insaf bahawa undi kita adalah untuk masa depan anak-anak kita, selama ini mereka ambil 95 peratus minyak kita dan hanya 5 peratus untuk kita.

“Tidak cukup itu kita punya kelapa sawit, kita kerja keras setiap hari tetapi hasil kelapa sawit kita dicukai untuk kewangan Persekutuan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Bersama Rakyat di Bongawan.

Mohd. Shafie berkata, Malaysia tidak akan wujud sampai bila-bila tanpa Sabah dan Sarawak tetapi Persekutuan tidak pernah mengiktiraf perkara itu apabila hak-hak negeri ini terus dirampas.

Katanya,jika parti-parti Malaya diberi peluang sekali lagi mentadbir Sabah, maka hasil-hasil bumi yang ada akan terus dihantar ke Semenanjung menyebabkan negeri ini kekal mundur sampai bila-bila.

“Orang kita di Sabah kena sedar dan insaf, inilah waktu dia kita pastikan kita tumbangkan BN, UMNO, Bersatu di Sabah, cukuplah,” tegas Ketua Menteri.

BERITA BERKAITAN :-

Awal-awal Lagi Bung Kata 20 Peratus Royalti Minyak Mustahil