Jangan Biarkan Mangsa Kebakaran Pasir Putih Putatan Susah

2178

 

Ketua Menteri melawat salah seorang mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
PUTATAN: Pemimpin masyarakat, pihak berkuasa tempatan dan semua agensi terlibat diingatkan supaya mencari langkah segera membantu kesemua 74 keluarga yang tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Kampung Pasir Putih di sini musnah dalam kebakaran semalam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, penempatan sementara yang disediakan di Dewan Putatan terlalu sempit, justeru setiap mangsa tidak boleh dibiarkan tinggal di situ terlalu lama.

Beliau yang turun padang bagi menghulur bantuan dan meninjau keadaan kesemua 315 mangsa di situ mengakui keadaan mangsa sangat terjejas, tinggal dalam khemah yang sempit serta tidak selesa.

“Kalau mereka duduk di sini berapa lama, jadi kita tidak boleh lihat keadaan ini berterusan, kita kena bincang.

Ketua Menteri memberi kata-kata perangsang kepada salah seorang mangsa kebakaran di Kampung Pasir Puteh, Putatan.

“Kita tidak boleh biarkan mereka di sini sampai enam bulan, saya lihat mereka ada anak, isteri dan suami tiada privasi kerana sempit sangat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan semua mangsa di dewan berkenaan.

Mohd. Shafie berkata, buat masa ini, pemimpin masyarakat dan pihak berkuasa akan memastikan semua bantuan dan bekalan seperti makanan, kelengkapan serta kesihatan setiap mangsa dititikberatkan.

Antara keluarga mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan yang ditempatkan sementara di Dewan Putatan.

Mengulas mengenai kejadian itu, Mohd. Shafie berkata,  pihaknya masih menunggu laporan tentang punca kejadian daripada bomba, namun beliau mahu supaya persediaan rapi diambil untuk meminimumkan kerugian jika kejadian sama berlaku di tempat lain.

“Kesiapsiagaan bomba, penduduk, pihak berkuasa tempatan serta jabatan air perlu ada khususnya musim panas ini kadang-kadang bekalan dan tekanan air tidak cukup.

“Jadi bomba sudah tahu tidak cukup air kalau ada berlaku kita sediakan segera lori-lori untuk menghantar bekalan air untuk meminimumkan kerugian.

Antara keluarga mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan yang ditempatkan sementara di Dewan Putatan.

“Tetapi bukan hanya bomba malah masyarakat setempat juga perlu terlibat jaga pendawaian, jaga memasak kita kena berhati-hati jangan kerana kecuaian kita semua persediaan tiada guna,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie berkata, beliau telah memberi arahan kepada Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Peter Anthony untuk mempercepatkan pembinaan empangan tertentu bagi memastikan bekalan air cukup untuk Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya dalam tempoh 50 tahun akan datang.

Beliau turut berharap pihak-pihak yang melakukan protes terhadap usaha kerajaan membangunkan empangan agar berhenti melakukannya demi kepentingan semua pihak.

Ketua Menteri menerangkan sesuatu kepada pihak bomba ketika mengunjungi mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan yang ditempatkan sementara di Dewan Putatan.

“Kita sudah nyatakan kena ada air, kita buat tadahan air pun orang protes, buat pembangunan kita perlukan air tapi ada protes macam mana.

“Protes 500 atau 1,000 orang kalau Kota Kinabalu tiada air esok satu juta orang yang protes susahlah kita,” tambah beliau.