Jangan Biar BN Bina Tembok Perkauman Di Sabah – Syed Saddiq

1570

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KIMANIS: Kekuatan ikatan perpaduan di negeri ini dilihat mampu menepis cubaan Barisan Nasional (BN) dan PAS membina tembok perkauman di Sabah.

Menteri Belia dan Sukan merangkap Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tindakan BN dan PAS menggunakan hujah perkauman untuk meraih undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis ini tidak akan berhasil. Ia kerana keutuhan perpaduan masyarakat di Sabah begitu kuat.

Beliau berkata, Sabah adalah negeri contoh kepada semua negeri lain di Malaysia kerana masyarakat berbilang kaum di negeri ini dapat hidup dalam suasana yang aman dan harmoni.

“Jadi, jangan biarkan BN dan PAS membina tembok perkauman yang boleh menggugat keharmonian masyarakat di Sabah,” katanya dalam ucapan sempena Himpunan Anak Muda Kimanis, di sini semalam.

Saddiq berkata, UMNO-BN mempersoalkan tentang peluang pekerjaan untuk anak muda di negara ini. Namun, mereka kena faham, kerajaan baru memerintah selama setahun sembilan bulan dan masih banyak masalah anak muda yang perlu diselesaikan.

Beliau berkata, dalam Belanjawan 2020, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM6.5 bilion untuk mencipta 300,000 peluang pekerjaan termasuk di Sabah.

Katanya, beliau akan memastikan pekerjaan untuk anak muda ini akan turut ditawarkan di Sabah.

Beliau turut mengingatkan anak muda agar tidak lupa dengan gejala rasuah dan salah guna kuasa yang dilakukan kerajaan BN terdahulu.

Menurutnya, rakyat perlukan pemimpin yang amanah, berintegriti dan sentiasa membela dan berjuang demi mempertahankan hak rakyat.

“Oleh itu, dalam pilihan raya ini pastikan kita menghantar petanda jelas bahawa kita mahukan pekerjaan, pembaharuan dan pembangunan demi memastikan Sabah membangun seadil mungkin.

“Saya minta anak muda di Sabah memberi sokongan padu kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) dan kemenangan di Kimanis ini harus menjadi petanda jelas bahawa rakyat Sabah tidak mahukan politik perkauman tetapi mahukan politik pembangunan,” ujarnya.