Jangan Beri Makanan Kepada Memerang, Elak Diserang

KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah mengingatkan orang ramai agar tidak memberi makanan mahupun mengganggu memerang licin yang berada boleh ditemukan di kawasan tasik di Bukit Padang.

Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata, tindakan memberi makan mahupun membelai dan mengganggu memerang licin yang dilindungi di bawah Jadual 2, Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dikhuatiri akan mengakibatkan kecederaan kepada manusia.

“Disebabkan memerang bersifat territorial (mempertahankan kawasan keliarannya), ia mungkin menyerang manusia. Memerang mempunyai gigi taring yang tajam dan biasanya ia memakan haiwan akuatik seperti ikan, ketam, katak dan lain-lain.

“Di samping itu, kita juga cuba mengelak sebarang penularan penyakit berlaku ketika memberi makanan kepada haiwan berkenaan. Ini demi mengekalkan kesihatan serta kebajikan memerang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, memerang licin antara haiwan yang berhadapan ancaman kerana spesis ini kurang habitat dan sumber makanan serta terdedah kepada pemburuan haram.

Pada masa ini, tidak dapat dipastikan populasi memerang yang terdapat di Sabah namun, ia boleh dijumpai di kawasan sungai atau tasik.

Tambahnya, kewujudan haiwan ini penting sebagai petunjuk habitat di sesebuah sungai atau tasik itu sihat.

Justeru, sekiranya orang ramai bertemu dengan memerang seperti dalam video tular di Bukit Padang itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak memberikan makanan, membelai atau mengganggu memerang berkenaan.