Jangan Ambil Kesempatan Naikkan Harga Barangan Semasa Perayaan

DAVID CHAN

KOTA KINABALU: Peniaga di negeri ini disaran agar tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang kawalan sesuka hati menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah (PPBPBS), David Chan berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak melaporkan tentang peniaga yang didapati mengamalkan sikap tidak beretika dalam perniagaan terutama semasa musim perayaan Tahun Baru Cina

“Menjelang musim perayaan ini, peniaga jangan sesuka hati menaikkan harga barang-barang keperluan dan jangan mengambil kesempatan atau melanggar akta sedia ada di Sabah.

“Peniaga juga perlu meletak tanda harga pada semua barangan jualan bagi kemudahan pengguna ketika membeli-belah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, pengguna mempunyai hak untuk membuat pilihan dengan membeli di kedai yang menjual barangan dengan harga yang tidak membebankan sebagai peringatan kepada peniaga yang lain.

Menurutnya, perniaga juga disaran untuk menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan serta meletakkan tanda harga khas ke atas barangan harga kawalan bagi membezakan dengan barangan lain.

Sementara itu, bagi peniaga pasar malam, beliau mengingatkan mereka supaya sentiasa menjaga kebersihan dalam pengendalian makanan serta pengurusan sisa dan lebihan makanan. Peniaga pasar malam juga digesa supaya menjaga kualiti makanan dan tahap kebersihan premis masing-masing ketika berniaga sepanjang bulan ini.

Selain menjaga kebersihan premis perniagaan dan juga kualiti makanan, para peniaga juga perlu menitikberatkan aspek lain seperti soal pemakaian, mempamerkan tanda harga dan tidak menghalang lalu lintas semasa menjalankan perniagaan.

Beliau juga mengingatkan pengguna perlu sentiasa mengambil langkah berhati-hati memilih makanan yang dijual pasar-pasar malam. Langkah ini adalah bertujuan untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini seperti berlakunya keracunan makanan, jelas David lagi.

Orang ramai boleh membantu KPDNHEP Sabah dengan melaporkan setiap kesalahan dengan menggunakan nombor talian 088-484368 (KPDNHEP Kota Kinabalu), Whatsapp 019-2794317 (Aduan Pengguna) atau email [email protected]