Jangan Ada ‘Little Napoleon’ Dalam Beri Kelulusan Perancangan Bandar

1832

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal mengingatkan supaya jangan ada ‘little napoleon’ dan karenah birokrasi melampau (red tape) dalam memberi kelulusan pelan pembangunan di negeri ini.

Jika tiada red tape, ia akan membantu mempercepatkan kelulusan perancangan bandar di Sabah agar mampu menarik kemasukan lebih ramai pelabur.

Katanya, jika boleh kelulusan berkenaan diberikan dalam tempoh seminggu. Jangan tunda proses kelulusan terlalu lama kerana itu akan mndatangkan masalah kepada pelabur.

Bagaimanapun, proses memberi kelulusan itu perlu mematuhi peruntukan undang-undang yang ada.

”Sekiranya berlaku kelewatan yang tidak dapat diambil tindakan, kemukakan perkara itu kepada saya supaya proses kelulusan dapat dipercepatkan.

”Saya sudah berbincang dengan Datuk Jaujan tentang cara bagaimana kita boleh mempercepatkan permohonan pelan pembangunan di negeri ini,” katanya semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Sepanggar, di sini pada Ahad.

Seiring dengan itu, beliau juga mahu kadar sewa tanah di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) diubahsuai supaya dapat menarik pelabur ke kawasan berkenaan.

Katanya, kadar yang bersesuaian akan membantu memperkembangkan lagi industri di Sabah dan ia sekaligus akan membantu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

Dalam pada itu, Mohd Shafie juga mahu masyarakat Tiong Hua memberi kerjasama berterusan kepada kerajaan dalam memastikan pembangunan di negeri ini dapat dilaksana dengan sebaiknya.

Katanya, beliau mahu kerjasama semua pihak dalam membangunkan Sabah dengan lebih baik dibawah pemerintahan Kerajaan Baharu.

”Saya tidak dapat membangunkan negeri ini sendirian. Maka, saya memerlukan kerjasama berterusan. Kerjasama ini bukan jangka pendek tetapi ia perlu dilakukan dalam jangka panjang,” ujarnya.