James Ratib Cabar Netizen Jumpa Kalau Tidak Puas Hati

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN Sugut, Datuk James Ratib tampil dengan komen mencabar netizen untuk menentang beliau jika mahu menjadi wakil rakyat.

Beliau yang kini berdepan dengan kritikan di laman Facebook berikutan tindakannya melompat parti beberapa kali turut mencabar netizen berjumpa dengannya jika tidak berpuas hati bukannya hanya bercakap di media sosial tetapi ‘bodoh’ dan ‘bahlol’.

Komen berkenaan dibuat menggunakan akaun bernama James Ratib Djr yang dipercayai milik beliau.

“Mcm mcm (macam-macam) saja ckp (cakap) kami ni..kadang kadang kesian saya tgk (tengok)…kalau ada niat mau jadi YB Tanding saja lawan saya…kalau tidak boleh lawan diam diam saja ba..buat malu saja kamurang ..ckp (cakap) banyak tapi aku tgk (tengok) lebih kurang jg (juga).

“Kau jumpa saya saja kalau ndak (tidak) puas hati kita bincang bincang..jgn (jangan) jadi babal pandai ckp (cakap) dlm (dalam) fb (Facebook) tapi bodoh bahlol,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ruangan komen terhadap perkongsian oleh pengguna Facebook bernama Khairul Fazlie di dalam kumpulan Facebook Beluran Info.

Khairul Fazlie berkongsi gambar James yang berlatar belakangkan pokok durian dengan keterangan gambar: Selamat tinggal politik, berebutlah kamu jadi YB.

Gambar tersebut dikongsikan James di laman Facebook semalam yang seolah-olah memberi gambaran beliau mengibar bendera putih selepas gagal menumbangkan Kerajaan Sabah melalui lompat parti.

Khairul Fazlie yang menjawab komen James kemudiannya secara sinis menolak untuk berjumpa dengan alasan tidak mempunyai wang.

Pemilik akaun itu kemudiannya menyindir James dengan memintanya terus menjadi calon untuk mengumpul kekayaan.

“Ndak (tidak) berani dato. Ndak (tidak) bnyk (banyak) duit kami. Kmi (kami) ja bagi ko (kau) undi utk (untuk) ko (kau) kumpul lg (lagi) kekayaan. Komon datuk..naik lg (lagi) jd (jadi) calon. Pliz (please),” katanya.

Seorang lagi pengguna Facebook bernama Mathew Sugang yang membalas komen itu berkata, tanpa undi seseorang itu tidak akan bergelar yang berhormat.

“Klu (kalau) x (tidak) diundi mna (mana) la bole jdi (jadi) yb,” katanya.