James Ratib Akui Tunggu ‘Offer’ Baharu Mana-mana Parti

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut, Datuk James Ratib masih menunggu ‘offer’ daripada mana-mana parti yang berminat menggunakan khidmatnya untuk mempertahankan kerusi itu.

Katanya, beliau tidak akan bertanding atas tiket Bebas, justeru jika ada parti yang berminat, barulah perkara itu akan dipertimbangkan.

“Jika ada parti-parti yang berminat untuk menggunakan khidmat saya di Sugut sudah pasti saya kan mempertimbangkan untuk bertanding tetapi sekiranya tiada, maka saya tidak akan bertandinglah.

“Sebenarnya banyak juga (parti) yang tawar, tapi saya belum buat keputusan kerana jika ianya dibuat terburu-buru nanti akan mengecewakan rakan-rakan yang lain,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Semalam, James seolah-olah mengibar bendera putih selepas gagal mengambil alih kerajaan bersama Tan Sri Musa Aman berikutan pembubaran DUN.

Dalam keterangan gambar yang dimasukkan di laman Facebook dipercayai miliknya iaitu YB Datuk James Ratib, beliau berkata: “Selamat tinggal politik, berebutlah kamu jadi YB (yang berhormat)”.

James berkata, hantarannya itu bukanlah bermaksud dia menyerah kalah daripada politik, tetapi mempunyai maksud tersirat.

Beliau turut menyatakan keyakinan dirinya masih lagi calon yang boleh menang ‘winnable’.

“Saya masih mempunyai sokongan kuat di Sugut dan saya calon ‘winnable’, tetapi jika tiada parti yang berminat maka saya berehatlah,” katanya.

BERITA BERKAITAN :-

Silap Strategi, James Ratib Kibar Bendera Putih?