Jambatan Siap Dibaiki, Beri Kelegaan 1,100 Penduduk Di Empat Kampung

293

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
PITAS: Jambatan Low Level, Kampung Pinapak di sini yang ditenggelami air Sungai Pinapak berikutan hujan lebat baru-baru ini kini boleh dilalui semula selepas kerja-kerja baik pulih dan pembersihna jalan tersebut selesai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Bolkiah Ismail berkata, sebanyak 1,100 penduduk di empat buah kampung yang sebelum ini terputus hubungan dengan daerah-daerah di sekitarnya kini boleh melalui jambatan berkenaan seperti biasa.

“Sebanyak empat buah kampung telah terputus hubungan selama kira-kira empat hari iaitu Kampung Penapak Seberang, Maliau, Dowokon dan Perupuk serta turut melibatkan sebuah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Pinapak.

“Bagaimanapun kelmarin pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah segera membersihkan dan membaik pulih kerosakan jambatan berkenaan sebaik sahaja air sungai kembali surut bagi memastikan kemudahan rakyat itu dapat digunakan,” katanya ketika dihubungi Borneo Today hari ini.

Bolkiah berkata, sepanjang empat hari jambatan tersebut ditenggelami air, beliau sentiasa memantau rapat keadaan di situ dengan kerjasama pegawai JKR daerah.

“Jambatan itu adalah untuk kemudahan penduduk sebab itu saya mahu pastikan infrastruktur berkenaan boleh digunakan sebaik sahaja air sungai surut.

“Kelmarin JKR yang turut dibantu penduduk kampung bergotong-royong melakukan kerja-kerja itu untuk kepentingan bersama,” katanya.

Sementara itu katanya, ketika jambatan berkenaan tidak boleh dilalui, bekalan makanan dan keperluan penduduk telah dihantar ke kampung-kampung terlibat menggunakan bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri, JKR, APM dan semua agensi yang terlibat memastikan kebajikan penduduk yang terjejas sentiasa diutamakan,” katanya.