Jambatan Kg Piasau Selamat Digunakan – Bung Moktar

Jambatan kampung Piasau Kota Belud selamat dilalui.

KOTA BELUD: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi jaminan Jambatan Kampung (Kg) Piasau selamat untuk digunakan oleh semua jenis kenderaan.

Beliau berkata, walaupun terdapat kesan tanah runtuh di kawasan itu namun, jambtan yang menjadi laluan utama penduduk kampung tersebut masih selamat digunakan.

BUNG MOKTAR

Katanya, jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah telah mengesahkan bahawa laluan berkenaan masih selamat untuk digunakan.

“Tidak perlu bimbang, keadaan jambatan ini masih baik dan kukuh hanya memerlukan sedikit pembaikan bagi menghalang hakisan berlanjutan.

“Kerja-kerja untuk membaiki kepala Jambatan (abutment) juga akan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau, yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata demikian bagi mengulas kebimbangan orang ramai mengenai hakisan berlaku di kawasan tebing Jambatan Kg Piasau .

Bung berkata, bagi menangani masalah hakisan, kerja-kerja pembaikan akan dilakukan apabila keadaan cuaca mengizinkan.

Katanya, kerja-kerja pembaikan kepala jambatan dan kesan hakisan yang berlaku ditebing sungai yang sepatutnya mula dilaksanakan pada selesa lepas terpaksa ditangguhnkan disebabkan faktor cuaca.

“Pihak kontraktor yang akan melaksanakan kerja-kerja pembaikan ini telah menghantar beberapa buah jentera mereka ke kawasan ini. Sekiranya keadaan cuaca mengizinkan kerja-kerja pembaikan akan dimulakan segera termasuk membaiki kepala jambatan dan memasang ‘stone pitching works’ dibahagian tebing yang terhakis,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Jambatan Kg Melangkap yang runtuh ekoran bencana banjir baru-baru ini telah pun siap. Jambatan itu sudah boleh digunakan oleh penduduk setempat.

Kerja-kerja pembaikan Kepala Jambatan (Abutment) dan pemasangan Stone Pitching Work sedang dimulakan.

Bung berkata, kerja-kerja pembaikan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu selepas lawatan beliau ke kawasan tersebut.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan JKR Pusat dan daerah atas komitmen mereka menangani masalah ini,” katanya.

Tambahnya, Kota Belud antara daerah yang banyak mengalami kerosakan jalan dan jambatan runtuh ekoran bencana banjir yang berulang kali berlaku di daerah itu.

“Untuk lain-lain daerah, saya juga telah meminta pihak jurutera daerah untuk memantau keadaan. Ini selari dengan tanggungjawab pasukan petugas khas yang kita tubuhkan bagi memantau keadaan bencana di Sabah,” jelasnya.