Jambatan Gantung Tamparuli Bakal Berwajah Baharu

TAMPARULI: Jambatan Gantung Tamparuli bakal berubah wajah dengan lukisan mural gergasi berkonsepkan corak tempatan asli yang dilihat bakal menjadi tarikan pelancong.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim berkata, lukisan mural itu nanti akan membuatkan tiang-tiang jambatan tersebut lebih indah dan menarik dipandang.

Beliau berkata, ketika ini mereka sedang mengkaji reka bentuk dan meneliti aspek teknikal bagi menjayakan projek berkenaan.

Katanya, usaha melukis mural itu diilhamkan daripada kejayaan seni lukis jalanan di bandar raya terkenal.

Oleh itu, beliau bersama Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging dan beberapa individu akan terlibat secara langsung dalam projek lukisan mural di bangunan Wisma Wanita baru-baru ini.

“Selepas kejayaan projek mentransformasikan bangunan Wisma Wanita, kita akan menggunakan sepenuhnya kemahiran kumpulan pelukis mural ini untuk memperluaskan projek pengindahan itu ke Jambatan Gantung Tamparuli,” katanya selepas melawat ke Jambatan Gantung Tamparuli, hari ini.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli ini berkata, lukisan mural ini akan menjadi ‘landmark’ bagi kawasan Tamparuli dan setiap orang yang masuk ke sini nanti akan melihat ikon ini.

Tambahnya, projek ini juga akan membantu mempromosikan hasil seni tempatan dalam bentuk seni lukis dan seni budaya.

Turut hadir adalah Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tamparuli, Dohimbang Bongkihoi, YDP PIBG SMK Tamparuli merangkap Ketua Kampung Tamparuli, Micheal Kadum dan wakil Kumpulan Pelukis Mural Sabah, Saidi Atiman.