Jalan Utama Ke Bandar Labuan Dijangka Kembali Sesak Bermula Esok

LABUAN: Bilangan kenderaan di dua jalan utama menuju ke pusat bandar dijangka bertambah bermula esok berikutan hari gaji bagi penjawat awam dan kemasukan awal bayaran bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat pada Rabu ini.

Ketua polis Labuan Supt. Muhamad Farid Ahmad berkata pihak polis akan mengambil pendekatan bagi membantu mengurangkan kesesakan yang dijangka bermula esok.

“Bagi mengurangkan kesesakan, kita akan membuka dua lorong di dua sekatan jalan – Jalan Patau-Patau dan Jalan Tun Mustapha berbanding satu lorong sebelum ini.

“Kedua lorong itu untuk kesemua pemandu yang turun bekerja dan membeli keperluan rumah, kita tidak dapat khaskan satu lorong khas untuk warga kerja disebabkan ianya akan bercampur juga akhirnya dengan yang turun berbelanja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Farid mengingatkan warga Labuan yang turun untuk ke bank bagi urusan pengeluaran duit gaji (esok) dan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (Rabu) untuk berbelanja keperluan harian agar menentukan masa sesuai untuk turun ke bandar dan bukan masa puncak.

“Masalah kita di Labuan ini disebabkan semua bank berpusat dibandar dan sudah semestinya, yang ingin mengeluarkan duit terpaksa turun ke bandar dan inilah menyebabkan bilangan kenderaan bertambah,” katanya.

Jalan Tun Mustapha sesak sepanjang lebih dua kilometer bermula jalan susur keluar lampu isyarat Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan sehingga sekatan jalan berhadapan Pasaraya Bataras lama awal pagi tadi sehingga tengahari.

“Kami merekodkan hampir seribu kenderaan melalui di dua sekatan jalan bermula jam 9 hingga 11 pagi tadi, dan ianya disebabkan warga tempatan ke tempat bekerja dan sebilangan keluar untuk membuat pengeluaran duit untuk berbelanja.

“Yang melambatkan pergerakan lalulintas adalah juga, sebilangan besar pemandu memaklumkan hendak pergi kerja, tetapi tidak memilik Surat Kebenaran/Pelepasan Bekerja dari majikan,” katanya.

Katanya anggota polis yang bertugas di dua sekatan jalan itu terpaksa mengambil rekod setiap pemandu yang memaklumkan tidak ada surat berkenaan dari majikan untuk rekod mereka.

“Saya meingatkan kepada warga kerja agar melengkapkan diri mereka dengan Surat Kebenaran/Pelepasan Bekerja dari majikan bagi kelancaran perjalanan mereka,” katanya.