Jalan Terjejas Banjir Antara 60 Jalan Dibaikpulih Di Sabah

724

Oleh Pemberita Borneotoday
KUDAT: Jalan yang terjejas banjir di Daerah Kecil Matunggong antara 60 jalan rosak di seluruh Sabah yang telah dibaikpulih dan dinaiktaraf sejak tahun lalu.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony berkata, terdapat 16 laluan kampung di Matunggong yang terjejas banjir telah dan akan dibaikpulih secara berperingkat.

Katanya, beliau juga telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pejabat daerah untuk membuat tindakan susulan bagi membaik pulih jalan rosak sebaik sahaja berlaku bencana alam seperti banjir, mendapan tanah mahupun tanah runtuh.

“Sehingga kini, terdapat kira-kira 60 jalan yang rosak disebabkan banjir dan tanah runtuh di seluruh Sabah telah dibaikpulih dan dinaik taraf,” katanya ketika ditemui media selepas membuat tinjauan Jalan Sebayan-Nangka, Matunggong, di sini pada Rabu.

Jalan sebayan-Nangka itu antara jalan yang rosak akibat banjir di beberapa daerah pada hujung minggu lalu.

Ketika membuat tinjauan jambatan di Jalan Hobut, Kampung Kabanggaan Matunggong, Peter memaklumkan bahawa terdapat kira-kira 1,000 jambaan kayu yang menjadi laluan utama beberapa kampung di Sabah perlu dinaiktaraf menjadi jambatan konkrit.

“Ia kerana kebanyakan jambatan kayu yang menjadi laluan penduduk kampung sudah terlalu usang dan berusia lebih 20 tahun.

“Saya juga mahu supaya sungai-sungai yang ada di kawasan berisiko tinggi banjir diselenggara dan dibersihkan bagi mengelak kejadian banjir dan kerosakan harta benda,” jelasnya.