TAMPARULI: Kerja-kerja membesarkan bahu jalan di KM4.5 Jalan Tamparuli-Kiulu akan dilaksana segera bagi membolehkan laluan itu digunakan semula dalam tempoh 24 jam ini.
Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony berkata, berdasarkan penelitian, kerja-kerja membesarkan bahu jalan di sini boleh dilakukan dengan segera kerana tidak banyak kerosakan yang berlaku.
“Mudah-mudahan jalan ini boleh digunakan semula dengan membesarkan sebelah kiri bahu jalan. Kita akan turut memperbaiki sistem saliran yang ada dan diharap dalam tempoh kurang daripada 24 jam, jalan ini boleh digunakan semula.
“Kita akan cuba percepatkan kerja-kerja pembesaran bahu jalan agar ia boleh digunakan semula oleh pengguna jalan raya,” katanya ketika ditemui semasa lawatan jalan terputus akibat mendapan tanah, di KM3 Jalan Tamparuli-Kiulu, di sini hari ini.
Mengenai punca kejadian itu, Peter berkata, pergerakan tanah akibat hujan antara penyebab berlakunya mendapan berkenaan.
Oleh itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya yang berada sekitar Tamparuli hingga ke Kundasang dan Ranau supaya lebih berhati-hati ketika memandu di kawasan lereng bukit berikutan keadaan cuaca hujan pada masa ini.
Tambahnya, di pihak kementerian, mereka akan sentiasa mengeluarkan amaran awal melalui sosial media dan radio untuk memaklumkan kepada pengguna tentang jalan-jalan yang ditutup.
Peter berkata, selain daripada jalan Kundasang-Ranau dan Tamparuli-Kiulu yang terputus, di Membakut turut berlaku runtuhan tanah yang jatuh dari kawasan lereng bukit. Namun, itu hanya melibatkan runtuhan kecil dan kerja pembersihan akan dilakukan segera supaya laluan itu boleh digunakan.