Jalan Sesak, Lori Ketam Terbalik Di Tawau

388

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Sebuah lori membawa muatan ketam hidup terbabas sebelum terbalik di Batu 4 1/2, Jalan Apas, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, menyebabkan lebih 100 ekor ketam terjatuh ke atas jalan raya selepas kotak pembungkusnya rosak dan pecah.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi, mengesahkan kejadian tersebut.

“Sebelum kejadian, pemandu lori berumur 50 tahun itu dalam perjalanan dari Batu 2 1/2 menuju ke Lapangan Terbang Tawau, dipercayai untuk menghantar muatan ketam berkenaan.

“Bagaimanapun, sebuah kenderaan di hadapan lori tersebut berhenti secara mengejut menyebabkan pemandu berkenaan cuba mengelak,” katanya.

Keadaan itu menyebabkan kenderaan yang dipandu lelaki itu hilang kawalan dan terbalik sendiri di lokasi kejadian.

Tambah Peter, pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada pemandu lori berkenaan yang tidak menjaga jarak selamat antara kenderaan dihadapannya.

“Kes disiasat mengikut Rule 10 LN59/166,” katanya.