‘Jalan Rosak, Kerajaan Lambat, Kita Buat Sendiri’ – Azis Jamman

KOTA KINABALU: Beberapa hari lalu, Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman dilihat menandakan jalan berlubang sekitar Parlimen Sepanggar bagi menggesa pihak berwajib bertindak.

Tidak sekadar menunggu tindakan pihak berwajib, Mohd Azis mengambil langkah proaktif mendapatkan ‘compact machine/plate compactor’ yang akan digunakan bagi meratakan tar di jalan-jalan yang berlubang.

Dengan bantuan ehsan daripada individu tertentu dan kerjasama daripada sukarelawan, Ahli Parlimen Sepanggar itu akan cuba menampal jalan-jalan yang berlubang sebagai penyelesaian jangka pendek kepada masalah jalan raya di kawasan Parlimen tersebut.

Tindakan yang diambil itu membuktikan walaupun berhadapan kekangan kewangan selaku ahli Parlimen Pembangkang namun, Mohd Azis tidak berpeluk tubuh dan membiarkan masalah dihadapi rakyat dipandang sepi.

“Suka atau tidak, selaku pemimpin saya terpaksa mencari penyelesaian kepada isu masalah jalan yang rosak atau berlubang ini.

“Ini bukan gerakan untuk meraih undi atau simpati rakyat. Kepada yang sudah lama mengikuti saya di laman facebook. Anda semua tahu bahawa saya bukanlah pemimpin yang turun padang secara bermusim atau semasa pilihan raya semakin dekat.

“Tetapi biar saya jelaskan bahawa bukan tugas ahli Parlimen pembangkang pun menyelesaikan masalah-masalah seperti ini kerana ini tugas kerajaan yang memerintah.

“Isu jalan rosak termasuklah isu bekalan air di Sepanggar sudah berkali-kali saya suarakan termasuk semasa sidang Parlimen. Segala peruntukan mereka yang kawal.

“Peruntukan tidak disalurkan kepada saya. Tetapi saya memahami mungkin kerajaan negeri tidak menerima peruntukan yang mencukupi daripada kerajaan persekutuan.

“Maka saya ambil keputusan dan inisiatif untuk bertindak dengan dana dan jentera yang saya usahakan sendiri,” katanya.

Beliau turut menghargai sumbangan yang diberikan oleh individu tertentu dalam usaha membantu rakyat di kawasan tersebut.

Katanya, sumbangan yang diberikan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya kepada rakyat.