Jalan Rosak Akibat Banjir, Tanah Runtuh Dibaiki Segara – Bung

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengambil tindakan pembaikan segera jalan dan jambatan yang runtuh akibat hujan lebat dan banjir yang berlaku di beberapa daerah di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, susulan hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu, ia mengakibatkan banjir berlaku hingga menyebabkan banyak jalan runtuh termasuk jambatan di daerah Pitas.

Menteri Kerja Raya ini berkata, pihaknya sudah menerima laporan daripada JKR mengenai kejadian ini dan jurutera JKR daerah di kawasan terlibat telah turun padang memantau serta memberikan laporan terperinci mengenai kerosakan yang dialami.

Jambatan Sungai Paparoun Jalan Telaga runtuh susulan banjir.

Beliau berkata, selain Pitas, JKR juga menerima laporan berlakunya runtuhan di Kota Marudu dan Beluran.

Bung berkata, antara kejadian tanah dan jambatan runtuh yang dilaporkan berlaku di daerah Pitas ialah Jalan Langkon-Pitas (KM53.05), Jalan Maringgan (KM1.7), Jalan Suang Duyung-Layak-Layak(KM0.25) ,Jalan Suang Duyung-Layak-Layak (KM 4.25) Jalan Sosop Bal (Kampung Rinasuk), Jalan Ulu Malubang (KM15.5) Jalan Mongkubou Laut (KM2.0) Jalan Mongkubou Laut (KM6.95) dan Jalan Telaga (kerosakan Jambatan Sungai Paparoun runtuh ekoran banjir).

“Untuk kes jalan  runtuh yang tidak terlalu serius, kerja-kerja pembersihan telah pun dilaksanakan oleh JKR termasuk jalan-jalan dibawah seliaan kontraktor  atau syarikat konsesi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jalan Kampung Suang Duyung, Pitas terputus akibat banjir yang berlaku.

Menurutnya, bagi kes-kes jalan runtuh termasuk jambatan yang memerlukan kos pembaikan yang tinggi, penilaian akan dilakukan bagi menentukan anggaran kos pembaikan.

Katanya, pembaikan segera akan dilakukan bagi memastikan sistem perhubungan penduduk yang terlibat dapat dipulihkan dengan kadar segera.

Bung juga meminta semua jurutera JKR daerah  agar bersiapa-siaga memantau keadaan  bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya hujan berterusan  dan banjir berlaku.

Jalan Langkon, Pitas yang runtuh telah di bersihkan oleh pihak JKR.

Sementara itu, Pengarah JKR, Ir .Ali Ahmad Hamid turut memantau keadaan jalan dan jambatan terjejas akibat banjir dan tanah runtuh di Kota Marudu dan Pitas.

“Kita telah menerima laporan penuh dari jurutera daerah yang terlibat dan kita akan menilai anggaran kos untuk pembaikan segera,” katanya.