Jalan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom Ditutup Akibat Runtuhan

KOTA KINABALU: Hujan lebat yang berlaku sejak petang semalam di kawasan Pantai Barat Sabah mengakibatkan terdapat jalan utama mendap dan runtuh.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan pengguna melalui laman Facebook, laluan utama Jalan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom mengalami runtuhan di KM35.7 dan difahamkan laluan itu telah ditutup pada 1 petang demi keselamatan pengguna jalan raya.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Ir Ali Ahmad Hamid berkata, menasihatkan pengguna jalan raya supaya menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Kota Kinabalu-Kimanis-Keningau dan Jalan Tambunan-Ranau.

Beliau berkata, syarikat konsesi telah dimaklumkan mengenai runtuhan pada laluan tersebut.

“Ketika ini pemasangan papan tanda amaran sedang diusahakan oleh pihak konsesi. Mereka harus memastikan laluan itu tidak terputus selaras dengan kontrak,” katanya.

Beliau berkata, syarikat konsesi juga sedang melakukan kajian dan reka bentuk agar pembaikan segera dapat dilakukan.