Jalan Cenderakasih Yang Rosak Teruk Perlu Diperbaiki Segera

KOTA KINABALU : Pengguna jalan raya di Jalan Cenderakasih di sini amat berharap agar pihak berwajib dapat segera memperbaiki jalan berkenaan yang mengalami kerosakan teruk dan berada dalam keadaan uzur sejak beberapa dekad yang lalu.

“Penduduk yang menggunakan jalan itu amat sengsara”, kata Ahli Jawatan Kuasa Komuniti Cina Sepanggar Warisan, Vincent Liew Majadil.

Vincent berkata beliau telah menerima banyak aduan daripada penduduk setempat yang menggunakan jalan berkenaan setiap hari.

Katanya Jalan Cenderakasih bermula dari bulatan Taman Seri Borneo hingga Metro Town.

“Jalan ini digunakan oleh penduduk Kg Cenderakasih, Taman Iramanis, Taman Bunga Raja, Taman Seri Borneo dan banyak kawasan perumahan lagi.

“Sejak berdekad lalu, jalan ini tidak rata serta mempunyai banyak lubang yang besar.

“Rakyat tertanya-tanya mengapa pihak berwajib enggan membina sebuah jalan yang berkualiti sekaligus mengakhiri kesengsaraan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Vincent berkata seorang pengadu dikenali Wong, terpaksa membelanjakan RM1,700 untuk memperbaiki kenderaannya yang mengalami kerosakan akibat terlanggar lubang di jalan berkenaan.

“Mengapa pihak berkuasa menjadikan penduduk Kg Cenderakasih sebagai mangsa keadaan?

“Adakah mereka tahu bahawa jalan ini satu-satunya laluan keluar dan masuk ke Kampung Cenderakasih dan turut digunakan oleh ribuan kenderaan ke kawasan perumahan, komersial dan industri berhampiran setiap hari?

Selain itu, keadaan jalan yang teruk juga menjadikan harga hartanah seperti rumah di Kampung Cenderakasih, susut.

“Rakyat di Kampung Cenderakasih tidak seharusnya dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan kemajuan yang adil,” kata Vincent.