Jalan Berturap Masuk Ke SMK Tamparuli Beri Keselesaan Kepada Warga Sekolah

133

Oleh BORNEOTODAY
TAMPARULI: Lebih 2,500 ibu bapa, guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli kini dapat menikmati infrastruktur asas lebih selesa apabila laluan masuk ke sekolah terbabit dinaik taraf.

Laluan masuk sepanjang 300 meter itu, yang dahulunya jalan batu kelikir, dinaik taraf kepada jalan berturap atas kelulusan permohonan kepada YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hj Mohd Shafie bin Hj Apdal.

Pengetua SMK Tamparuli, Jaya Silar A/L Muniandi berkata kerja menaiktaraf laluan masuk itu dibiayai sepenuhnya oleh Jabatan Ketua Menteri dan hanya mengambil masa kurang sebulan untuk siap sepenuhnya pada Ogos tahun ini.

“Jalan masuk ke sekolah ini sudah lama dalam keadaan rosak dan berlubang-lubang kerana lebih 20 tahun tidak diselenggara.

“Bagi memberikan keselesaan kepada ibu bapa dan pelajar, pihak sekolah terpaksa mengutip wang daripada guru-guru untuk menutup bahagian jalan berlubang dengan batu kelikir.

“Kami pernah memohon kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dahulu untuk menurap jalan masuk ini namun mereka tidak dapat melakukan apa-apa kerana ia berada dalam geran tanah Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Apabila perkara ini dikemukakan kepada Jabatan Pendidikan Daerah Tuaran, kami dimaklumkan mereka juga tidak dapat menyelesaikan masalah ini kerana tiada peruntukan,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila ditemui selepas acara SMKT Run 2019 yang dilepaskan oleh Jo-Anna, di sini, pada Ahad.

Menurutnya lagi, kerja naik taraf itu turut membabitkan pelebaran jalan berkenaan.

JO-ANNA

“Bukan saja diturap, malah jalan ini semakin lebar dan terus dibuat juga tempat untuk kereta ibu bapa berpusing untuk keluar ke jalan utama,” katanya.

Mengenai SMKT Run, Jaya Silar berkata acara larian terbabit diadakan sebagai salah satu inisiatif pihaknya bagi mengumpulkan dana untuk menaiktaraf kemudahan asas di sekolah itu selain mengisi Tabung Persatuan Ibu Bapa dan Gurunya (PIBG).

Disertai kira-kira 700 orang, acara yang sudah memasuki edisi kedua itu terbuka kepada dua kategori iaitu 5.5 kilometer dan 13km.

Jo-Anna turut menamatkan larian sejauh 5.5km.