Jahid Sumbang Bantuan Kepada SM ST James, Tenghilan

Evelyn (dua kiri) menerima sumbangan peribadi Jahid (kanan) di Pejabat Pengetua SM St James Tenghilan pagi tadi.

TAMPARULI: Sekolah Menengah (SM) St James Tenghilan, menerima sumbangan peribadi Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim bagi membiayai perbelanjaan membeli perabot sekolah tersebut.

Sumbangan berbentuk cek tunai itu disampaikan sendiri oleh Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, diiringi Penyelia Kemajuan Masyarakat Tamparuli, Boe Sindolun.

Cek tersebut diterima Pengetua Sekolah, Mak Yuk Kiew @ Evelyn di Pejabat Pengetua pagi tadi bersama Ketua Bidang Sains Dan Matematik merangkap Guru Pembangunan Sekolah SM St James Tenghilan, Jobinal Mongijal.

Pada pertemuan singkat itu, Jahid turut mendengar permasalahan dan keperluan lain yang dikemukakan Evelyn selain menghargai sumbangan pemimpin berkenaan.

“Ucapan terima kasih kami kepada Datuk Jahid Jahim yang sangat prihatin dan bermurah hati membantu pihak sekolah ini yang turut terjejas akibat banjir pada bulan Disember  tahun lalu,” katanya.

Menurut Evelyn, atas kemurahan pemimpin itu juga pastinya dapat membantu pihak sekolah bukan hanya dari segi fizikal tetapi juga akademik pelajar di sekolah tersebut.

“Semoga Datuk sentiasa dilindungi dan terus cemerlang dalam tugas dan tanggungjawab besar kepada masyarakat keseluruhannya,” ujarnya.

Selain membiayai perabot pejabat yang rosak akibat banjir baru-baru ini, katanya sumbangan itu juga digunakan untuk program MONOTOS 3.0 di sekolah tersebut.