Jaga Kebajikan Belia

Ismail (kanan) ketika sesi Kupi-Kupi bersama Amrullah (kiri).

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Setiap wakil rakyat yang bakal mendapat mandat rakyat perlu memperkasa transformasi belia di daerah ini.

Pengerusi Persatuan Muafakat Anak Bangsa Sabah (PMAB Sabah) Ismail Sabran berkata, belia di daerah ini memerlukan sokongan wakil rakyat dalam menyediakan platform ke arah transformasi berkenaan.

“Antara keperluan belia adalah peluang kerjaya, kursus kemahiran dan pendidikan.

“Tambahnya ramai belia juga terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti gotong-royong dan membantu golongan sasar,” katanya menerusi Program Kupi-Kupi  Bersama Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) N68 Apas Datuk Amrullah Kamal yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Warisan Online.

Menurut Ismail, kebanyakan NGO berkaitan terdiri daripada agensi ‘non-profit’ atau bukan berasaskan keuntungan, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada sumbangan ahli dan pihak luar.

“Justeru, saya berharap wakil rakyat seperti Datuk (Amrullah)… insyaAllah jika mendapat mandat rakyat, dampingilah NGO dan belia dalam usaha berkongsi pendapat demi kemajuan bersama.

“Dalam masa sama, saya juga berharap lebih banyak kursus kemahiran disediakan di Tawau seperti di Kota Kinabalu,” katanya.

Sementara itu, Amrullah menyambut baik usaha golongan belia yang terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan menerusi NGO.

“Kita perlu mengubah mentaliti daripada soalan ‘apa yang kita boleh buat’ kepada ‘kita boleh buat ini’.

“Justeru, pembabitkan belia dalam NGO adalah satu langkah ke hadapan yang mana wujudnya konsep ‘kita boleh buat ini’ sekali gus selaras dengan perjuangan saya untuk menjadikan Tawau lebih baik berbanding hari ini,” katanya.

Tambah Amrullah, bukan saja aspek kemahiran, pihaknya mahu mencadangkan kepada Kerajaan Pusat untuk membina satu universiti di daerah ini.

“Tapak sudah dikenal pasti dan ia sesuai untuk pembinaan institusi pengajian tinggi kedua di Sabah,” katanya.