Jaga Hubungan Baik Dengan Warga Media: KPE PL

LABUAN: Warga kerja komunikasi korporat pelbagai agensi kerajaan dan swasta perlu menjalinkan hubungan baik bersama petugas media, kata ketua pegawai eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Ismail.

Katanya, warga kerja komunikasi korporat perlu menjaga sensitiviti petugas pertubuhan media agar tidak timbul masalah atau konflik ketika berurusan dengan mereka.

“Tugas penting anggota kerja perhubungan awam mana-mana agensi kerajaan atau swasta adalah mewujudkan hubungan yang baik dengan petugas pertubuhan media dengan mempermudahkan urusan mereka ketika menjalankan tugas.

“Sediakan bahan-bahan maklumat yang diperlukan dan tepat bagi memudahkan mereka menghasilkan berita,” katanya di majlis penutupan Bengkel Pengurusan Media anjuran bersama Persatuan Penggiat Media Labuan dan Majlis Perwakilan Penduduk di Bilik Persidangan Perbadanan Labuan hari ini.

Rithuan berkata kerjasama itu mampu memastikan bahan publisiti atau aktiviti organisasi yang dihadiri mereka dapat disiarkan di media untuk tatapan unum.

“Adalah penting bagi warga kerja perhubungan korporat di mana-mana organisasi untuk mengelak konflik dengan petugas media.

“Ini kerana pihak media sendiri akan menentukan bahan yang diterima daripada organisasi untuk disiarkan sebagai berita dalam media masing-masing,” katanya.

Rithuan berkata perhubungan dan pengurusan media merupakan aktiviti yang bertujuan untuk membina saluran komunikasi terbuka antara organisasi dengan pertubuhan media.

“Dengan mewujudkan perhubungan media yang baik, yang berasaskan perasaan saling menghormati dan komunikasi dua-hala, warga kerja komunikasi korporat dapat meminimumkan masalah dengan pihak media, dan sebaliknya mendapatkan sokongan mereka.

“Pihak media (apabila menerima jemputan liputan media) sebenarnya tidak meminta layanan istimewa, ini adalah kerana tugasan mereka dimana-mana majlis adalah untuk bekerja, oleh itu permudahkan kerja mereka dengan menyediakan maklumat yang diperlukan,” katanya.

Seramai 40 anggota kerja perhubungan korporat pelbagai agensi kerajaan dan swasta di Labuan menyertai bengkel sehari itu.

Penceramah-penceramah untuk bengkel itu adalah wakil Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Labuan, Jailani Hasan, ketua unit Siber Jabatan Penerangan Labuan, Mohd Khairul Azad Yunus dan jurufota Bernama, Abdull Muqtadir Halim.