Jaffari Waliam Umum Keluar PKR

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Libaran, Jaffari Waliam mengumumkan keluar parti dan menjadi bebas.

Jaffari keluar parti bersama 3,144 ahli membabitkan 23 daripada 25 ranting di cabang itu.

Beliau membuat pengumuman itu sebentar tadi di Pejabat PKR Cabang Libaran, di sini.

Jaffari berkata, biarpun keluar parti, beliau tetap menyokong kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya, tindakan itu susulan hilang keyakinan terhadap presiden parti yang terbukti gagal menguruskan parti dan hanya mementingkan kelompok tertentu serta meminggirkan yang lain terutama pejuang asal yang berkorban sepanjang 20 tahun.

“Saya sendiri sebagai yang berhormat dilantik ditanya (oleh rakyat) bagaimana mahu bantu mereka. Macam mana mahu jawab kalau parti kita pun bermasalah?

“Saya sudah buat keputusan (untuk keluar parti) sejak tiga hari lalu,” katanya.

Jaffari berkata, susulan tindakan beliau bersama 23 ranting di cabang itu, PKR cabang Libaran akan terbubar kerana jumlah anggota tidak mencukupi untuk membentuk cabang.

Katanya, beliau akan terus berkhidmat kepada masyarakat menerusi platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO).