Jabatan Tanah Sahkan Tiga Hektar Tanah Terlibat Ditoreh Syarikat

268

TUARAN: Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) mengesahkan hanya tiga hektar tanah rizab yang terjejas akibat perbuatan sebuah syarikat swasta menoreh bukit di enam buah kampung di Tuaran sebelum ini.

Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri di Kementerian Kewangan Jo-Anne Sue Henley Rampas berkata, JTU telah membuat pemeriksaan di kawasan terlibat dan turut mengarahkan supaya kerja-kerja pengambilan tanah di situ dihentikan serta-merta sejak Jumaat lalu.

“Pemeriksaan JTU mendapati syarikat terbabit menceroboh tiga hektar tanah simpanan Balak Bumiputera Telibong itu yang bersempadanan dengan tanah milik syarikat firma berkenaan.

“Pengarah JTU Sabah, Datuk Safar Untong juga mengesahkan bahawa pejabat beliau telah mengarahkan syarikat itu untuk menghentikan kerja tanah ini dengan serta-merta.

“Saya akan terus mengadakan perbincangan dengan pihak Jabatan Tanah dan Ukur untuk mencari penyelesaian terhadap isu ini yang membimbangkan penduduk di enam perkampungan itu,” kata Jo-Anne dalam satu kenyataan.

Enam buah kampung itu adalah Bukit Giling, Kauluan, Tambulaong, Tambalugu, Bakut serta Dansangai.

Jumaat lalu, Jo-Anne sendiri turun padang meninjau keadaan di situ untuk berjumpa dengan wakil syarikat swasta itu serta penduduk kampung bagi mencari jalan penyelesaian.

Borneo Today sebelum ini melaporkan aduan penduduk mewakili enam buah kampung berkenaan berhubung aktiviti syarikat tersebut yang dikatakan kebal daripada tindakan pihak berkuasa.

Ketua Kampung Bukit Giling, Siani Lipat, 58, aduan telah dibuat kepada Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Daerah kerana aktiviti menoreh bukit itu menyebabkan hakisan tanah dan merosakkan kawasan tadahan air graviti penduduk tetapi tiada tindakan diambil.

Sementara itu, Jo-Anne berkata, kira-kira 1,500 penduduk kampung yang terdiri daripada petani tinggal di situ dan telah memohon agar tanah berkenaan diwartakan sebagai kampung sejak 30 tahun lalu tetapi tidak pernah diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Hasil pertemuan saya dengan beberapa Ketua Kampung, mereka turut memohon untuk proses pewartaan kampung untuk 6 buah kampung bagi mengelakkan hak penduduk di kawasan itu terjejas pada masa akan datang.”

“Selepas ini, saya sendiri akan membawa permohonan mereka kepada Jabatan Tanah dan Ukur demi memastikan kebajikan penduduk di situ terjaga dan masalah penduduk kampung itu dapat diselesaikan,” katanya.

Berita berkaitan :-

Syarikat Didakwa Ceroboh Tanah Rizab, ‘Kebal’ Daripada Tindakan

Jo Tinjau Kawasan Bukit Ditoreh, Syarikat Diarah Berhenti Kerja