Jabatan Perikanan Tangani Kegiatan Bom Ikan Di Perairan Labuan

660
Penerima bantuan perikanan

LABUAN :Jabatan Perikanan mengakui bahawa kegiatan mengebom ikan masih berterusan di perairan Labuan meskipun pelbagai usaha dilakukan untuk menghentikan aktiviti perikanan haram itu.

Pengarahnya, Faizal Ibrahim Suhaili berkata jabatannya akan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan isu itu dengan berkesan, sambil mempertingkatkan kerjasama dengan polis marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Menamatkan kegiatan mengebom ikan kini menjadi satu keutamaan, kerana aktiviti penangkapan ikan haram ini membunuh seluruh rantaian makanan, termasuk plankton, ikan kecil dan besar, serta spesies yang belum cukup matang untuk bertelur,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan perikanan kepada nelayan dan peserta industri pada Program Penglibatan Nelayan Tradisional di sini hari ini.

Beliau berkata bot rondaan jabatan itu dijangka siap tidak lama lagi dan akan digunakan secara optimum untuk mengadakan operasi membanteras aktiviti perikanan haram mulai Mac.

“Ada kes yang diserahkan kepada kami oleh Polis Marin, bagaimanapun sukar untuk mendakwa mereka yang terbabit kerana bahan peledak tidak dijumpai di atas bot, melainkan mereka ditangkap ketika sedang melakukan perbuatan itu,” katanya.
Faizal berkata beberapa spesies ikan telah dihantar ke makmal dan keputusan yang diperoleh menunjukkan ikan itu ditangkap menggunakan bahan letupan.

“Jabatan ini akan turut bekerjasama dengan nelayan tempatan untuk memantau aktiviti perikanan haram selain pencerobohan oleh kapal nelayan asing.

“Kami telah menugaskan anggota kami pada sepanjang masa di Taman Laut Labuan di Pulau Kuraman, Rusukan Besar dan Rusukan Kecil,” katanya.

Penyelidik marin telah memberi amaran bahawa jika trend semasa ini diteruskan, bekalan ikan global akan turun dengan mendadak dalam beberapa dekad akan datang.

Seorang nelayan yang menggunakan kaedah mengebom ikan dan tinggal di penempatan warga Filipina di sini, ketika ditanya tentang aktiviti itu berkata, itulah satu-satunya pekerjaan yang diketahuinya, dan memberinya pulangan lumayan.

“Bagi nelayan pukat yang berlesen, lima  kilogram ikan sudah cukup baik, tetapi, seringkali mereka pulang dengan tangan kosong. Bagaimanapun, dengan kaedah pengeboman ikan, dia boleh bawa balik 30 kilogram dan kadang-kadang sampai 50 kilogram, jika dia dapat ikan jenahak atau kerapu yang besar,” kata lelaki itu.