Jabatan Perikanan Sabah Sedia Bantu Sistem Tagal Di Sarawak

Sebahagian daripada ikan pelian (kelah) yang ditangkap semasa menuai hasil tagal di Kg. Kitapol disini. - Gambar ihsan Lano Lan
Sebahagian daripada ikan pelian (kelah) yang ditangkap semasa menuai hasil tagal di Kg. Kitapol disini. – Gambar ihsan Lano Lan

KUCHING – Jabatan Perikanan Sabah bersedia membantu Jabatan Pertanian Sarawak mengembangkan projek Sistem Tagal di negeri Sarawak.

tagal3

Turut dikenali sebagai Sistem Tagang di Sarawak, ia merupakan sistem kawalan mengaut hasil sungai yang diamalkan oleh masyarakat setempat.

Melalui sistem itu, aktiviti menangkap ikan di sesebuah sungai dikawal mengikut tiga zon iaitu merah (zon larangan menangkap ikan), zon hijau (sekali dalam tempoh tertentu) dan zon kuning (bebas menangkap ikan).

Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Dr Ahemad Sade berkata pihaknya bersedia untuk berkongsi maklumat, pengalaman dan kepakaran untuk penggembangan projek berkenaan di negeri Sarawak.

Ahemad Sade
Ahemad Sade

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan rombongan seramai 28 pegawai Jabatan Pertanian Sarawak dan anggota jawatankuasa Sistem Tagang dari beberapa buah kampung di sekitar Kuching di pejabatnya di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Rombongan dari Sarawak yang diketuai pembantu perikanan Jabatan Pertanian Sarawak, Josef Asap Rinjung turut berkesempatan mengunjungi tiga buah kampung yang menyertai program berkenaan iaitu Sungai Moroli, Kampung Luanti Baru, Ranau; Kampung Babagon, Penampang dan Sistem Tagal Sungai Kimanis Dolungan Sumbiling di Kampung Kinolosodon dalam daerah Papar.

Dr Ahemad berkata kejayaan Sistem Tagal di Sabah kini sudah mampu untuk memberi hasil pendapatan yang lumayan kepada beberapa buah kampung yang menyertai program berkenaan.

Katanya sehingga kini, sebanyak 531 buah kampung membabitkan 221 batang sungai di seluruh negeri Sabah sudah pun menyertai program berkenaan, yang menjadi antara produk pelancongan penting di negeri itu.

Dua budak ini gembira dengan hasil tangkapan mereka. - Gambar ihsan Rosalia Clement
Dua budak ini gembira dengan hasil tangkapan mereka. – Gambar ihsan Rosalia Clement

Di Sabah, katanya Sistem Tagal diperkenalkan bagi memastikan aktiviti di sesebuah sungai dikawal sekaligus memberi peluang kepada hidupan di sungai berkenaan untuk membiak dan membesar.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Godfrey Kissey ketika menyampaikan taklimat kepada rombongan dari Sarawak itu berkata beberapa buah kampung yang sudah berjaya dalam Sistem Tagal di Sabah mampu meraih pendapatan antara RM30 hingga RM50,000 setahun.

Godfrey Kissey
Godfrey Kissey

Beliau berkata Sistem Tagal juga merupakan satu produk pelancongan yang telah menyumbang kepada pengurusan persekitaran yang lebih cekap, pembangunan ekonomi dan juga pembangunan sosial komuniti.

Katanya, pendapatan yang diperoleh itu bukan hasil daripada jualan ikan tetapi hasil kutipan daripada pelancong tempatan dan asing yang datang untuk melawat dan melihat ikan jinak di kawasan Tagal di kampung mereka.

Katanya, selain mengenakan bayaran masuk kepada pelawat yang datang untuk melihat ikan, bayaran juga dikenakan sekiranya ada pelawat yang berminat untuk mandi di sungai selain hasil jualan makanan dan minuman kepada pelawat.

“Kejayaan sesebuah projek Sistem Tagal bergantung kepada kerjasama dan komitmen penduduk kampung yang terlibat dalam projek berkenaan, manakala Jabatan Perikanan Sabah hanya bertindak sebagai penyelia dan menyalurkan bantuan yang diperlukan termasuk geran untuk pembinaan kemudahan infrastruktur projek,” jelasnya.

Selepas sesi menuai sungai ditamatkan, hasilnya dibahagikan kepada semua penduduk.
Selepas sesi penuaian sungai ditamatkan, hasilnya dibahagikan kepada semua penduduk.

Bagaimanapun, menurut Godfrey banyak cabaran yang terpaksa ditempuh dalam perlaksanaan Sistem Tagal, antaranya ada individu yang menceroboh kawasan Sistem Tagal, selain pencemaran sungai akibat kegiatan perladangan, pembangunan infrastruktur dan pembalakan.

Beliau berkata setakat ini, pihak Jabatan Perikanan Sabah tidak terlibat dalam langkah penguatkuasaan hukuman kerana hukuman yang dikenakan terhadap penceroboh kawasan Sistem Tagal diserahkan kepada ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Katanya, penceroboh yang ditangkap akan dibicarakan oleh ketua kampung di Mahkamah Anak Negeri dan biasanya akan dikenakan ‘sogit’ atau didenda seekor lembu yang nilainya sekitar RM3,000.