Jabatan Perikanan Disyor Wartakan Kawasan Selam Skuba Elak Dimasuki Nelayan

Mohamaddin bersalaman dengan kakitangan Jabatan Muzium Sabah ketika hadir merasmikan Hari Muzium Antarabangsa 2019 hari ini.

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengesyorkan kepada Jabatan Perikanan supaya semua kawasan tumpuan pelancong bagi aktiviti selam skuba di negeri ini diwartakan.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, pewartaan tersebut penting bagi mengelak kemasukan nelayan di kawasan terbabit dan mencegah daripada berlaku aktiviti mengebom ikan.

“Saya akan syorkan perkara ini kerana jabatan tersebut di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang terlibat untuk membuat keputusan.

“Kalau sudah diwartakan tiada nelayan dibenarkan masuk ke situ kecuali pelancong atau pengunjung bagi tujuan selam skuba sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Muzium Antarabangsa 2019 di Jabatan Muzium Sabah hari ini.

MOHAMADDIN KETAPI

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew.

Pada 5 Julai lalu, tiga penyelam termasuk dua pelancong China maut ketika melakukan selaman di perairan Semporna akibat kesan letupan bom ikan.

Ketiga-tiga mangsa yang menyelam di Kalapuan ditemukan dengan topeng selaman yang rosak, terdapat banyak ikan mati dan terumbu karang di kawasan itu rosak.

Laporan autopsi menunjukkan kecederaan yang berlaku terhadap mangsa termasuk keretakan tengkorak, patah tulang rusuk dan pendarahan pada paru-paru.

Mohamaddin berkata, beliau difahamkan semasa kejadian, ketiga-tiga penyelam berkenaan dibiarkan tanpa dijaga oleh operator pelancongan berkaitan di permukaan air menyebabkan nelayan yang datang tidak mengetahui kehadiran mereka di dalam laut.

Mohamaddin berkata sesuatu kepada Christina di program Hari Muzium Antarabangsa 2019 hari ini.

Menurut beliau, walaupun insiden itu tidak menjejaskan sektor pelancongan negara, namun jika berterusan pasti akhirnya akan menyebabkan pelancong tidak lagi berkunjung ke sana.

“Sebab itulah penting kalau diwartakan kita boleh tugaskan penguat kuasa maritim kita berkawal di sana.

“Sesiapa pun boleh datang ke sana untuk menyelam kerana berasa selamat dengan adanya pihak berkuasa,” tambah beliau.

Sementara itu, selepas menghadiri program berkenaan, Mohamaddin hadir di Istana Negeri untuk menghadap Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahuruddin.

Difahamkan, beliau telah mengemukakan cadangan mewartakan kawasan pelancongan tersebut kepada Juhar bagi mendapatkan pandangan beliau.