Jabatan Perhutanan Sangkal Cubaan UMNO Tuduh Kerajaan Benarkan Pembalakan

333

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Cubaan UMNO memburuk-burukkan kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan dakwaan kononnya berlaku pembalakan haram kayu belian di Tawau akhirnya terbukti tidak benar.

Dakwaan tersebut disangkal selepas Jabatan Perhutanan Sabah hari ini menyatakan bahawa kayu belian yang dimaksudkan itu sebenarnya telah ditebang sejak puluhan tahun lalu dan tertimbus di dalam tanah, namun hanya dikorek baru-baru ini.

Ketua Konservator Hutan Jabatan Perhutanan, Datuk Mashor Mohd Jaini berkata, Jabatan Pertanian sebenarnya yang telah melantik kontraktor untuk menggali kayu-kayu tersebut tetapi tiada sebarang pengeluaran kayu dilakukan.

MASHOR MD JAINI

“Koperasi Pertanian Sabah Berhad dalam proses memohon lesen Borang 2B kepada Jabatan Perhutanan walau bagaimanapun kelulusan hanya dikeluarkan selepas pemeriksaan lanjut oleh pegawai perhutanan daerah Tawau ke kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan pemohon bersama pegawai perhutanan daerah Tawau pada 27 Mei lalu mendapati tiada kesalahan hutan dikesan di situ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazalie Ansing dilihat sengaja mencetuskan imej buruk terhadap kerajaan apabila mendakwa berlaku pembalakan dan pengeluaran kayu belian di Bukit Quoin, Tawau.

Beliau mendakwa kononnya terdapat kontraktor yang diberi keistimewaan oleh kerajaan negeri untuk membalak walaupun hakikatnya antara langkah terawal Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebaik sahaja memegang tampuk pemerintahan Sabah adalah menghentikan pembalakan haram yang dilakukan oleh syarikat kroni UMNO selama ini.

Kenyataan Ghazalie itu kemudiannya dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan tanpa mendapatkan jawapan daripada pihak berwajib menyebabkan timbul spekulasi negatif ke atas kerajaan.

“Jabatan Perhutanan Sabah ingin membuat pencerahan terhadap dakwaan negatif yang disiarkan dalam akhbar Sabah pada 19 Jun 2019 yang mungkin bermotif jahat dan ingin menjejaskan nama baik kerajaan negeri.

“Pengadu telah memberi fakta yang salah tanpa usul periksa kepada pihak media mengenai pembalakan dan pengeluaran kayu belian di kawasan rizab Jabatan Pertanian Quoin Hill, Tawau seluas lebih kurang 218 hektar,” tegas Mashor.

Tambah Mashor, Enakmen Hutan 1968, bagi kawasan tanah bermilik bagaimanapun menjelaskan Jabatan Perhutanan tidak boleh menghalang pemilik tanah daripada mengeluarkan atau menjual balak di kawasan tanah mereka untuk apa-apa tujuan yang difikirkan wajar asalkan memenuhi syarat-syarat dan prosedur yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan.

BERITA BERKAITAN: –

‘Cuma Kayu (Belian) Yang Sudah Ditebang Berpuluh Tahun’