Jabatan Pendidikan Ambil Tindakan Segera Dakwaan Pengasingan Kelas

3091

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan akan mengambil tindakan segera jika benar dakwaan berlaku pengasingan kelas mengikut agama bagi pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah All Saints Kita Kinabalu di sini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, pegawai Sektor Pengurusan Sekolah (SPS) serta Jabatan Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) akan turun ke sekolah berkenaan esok untuk memperbetulkan keadaan termasuk menukar pengetua sekolah ke tempat lain.

“Saya telah minta Jabatan Pendidikan membuat pembetulan serta merta jika berlaku, esok pegawai SPS dan JNJK akan turun ke sekolah katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam tular satu petisyen yang ditandatangani oleh ibu bapa pelajar tingkatan satu di sekolah itu yang meminta Kementerian Pendidikan mengambil tindakan segera terhadap tindakan pengasingan kelas berkenaan.

Dalam petisyen itu, mereka mendakwa pengasingan kelas dibuat oleh pengetua sekolah sejak Januari lalu iaitu empat kelas pelajar bukan Islam dan dua untuk pelajar Islam.

Bagi kelas tingkatan dua hingga tingkatan lima, tiada pengasingan dibuat cuma pelajar akan memasuki kelas berlainan setiap kali pembelajaran subjek Pendidikan Moral dan Agama Islam bermula.

Nie Ching berkata, tindakan pengasingan itu tidak wajar terutama bagi usaha membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

“Langsung tiada kewajaran dalam usaha untuk saling hormat-menghormati, khasnya dalam sebuah negara yang menuntut perpaduan kaum.

“Pengasingan yang sedemikian bermakna pengasingan mengikut kaum, hanya dilakukan oleh pengurus sekolah yang berfikiran cetek,” tegas beliau.