Jabatan Kesihatan Nafi Mesej Tular Kononnya Pengikut Shafie Dijangkiti Covid-19

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA BELUD: Jabatan Kesihatan Sabah menafikan mesej yang tular mengatakan kononnya pengikut Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam ceramah di Kota Belud petang ini dijangkiti Covid-19.

Pengarahnya, Datuk Dr. Christina Rundi ketika dihubungi berkata, maklumat itu tidak betul.

CHRISTINA RUNDI

“Selamat petang. Dr tidak tahu siapa pengikut yang dimaksudkan yang dikhuatiri dijangkiti. Maka, maklumat tidak betul. Terima kasih,” katanya kepada Borneo Today.

Semalam, tular mesej melalui aplikasi Whatsapp yang menasihatkan orang ramai tidak datang ke dewan Kampung Rosok untuk mendengar ceramah Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu bagi mengelak daripada dijangkiti Covid-19.

Menurut mesej yang tular, pengikut Mohd. Shafie dikatakan dikhuatiri dijangkiti Covid-19 kerana Semporna dan Tawau kononnya adalah zon merah.

Ceramah itu telah berlangsung petang ini dengan kehadiran Mohd. Shafie dan mengikut SOP yang dikhaskan Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, ditanya adakah Semporna dan Tawau zon merah, beliau turut menafikannya.

“Tidak,” katanya ringkas.