Jabatan Kesihatan Labuan Siap Sedia Untuk Vaksinasi COVID

LABUAN: Jabatan Kesihatan Labuan bersiap sedia untuk menjalankan proses vaksinasi COVID-19 di pulau bebas cukai ini, yang dijangka bermula pada akhir Februari, dengan peti sejuk khas bagi menyimpan vaksin dijadulkan tiba di sini dalam tempoh dua minggu.

Pengarahnya Dr Ismuni Bohari berkata Bilik Operasi Imunisasi COVID-19 lengkap dengan talian hotline telah diwujudkan.

“Kami sedang bersedia untuk menerima vaksin COVID-19 setelah diluluskan Kerajaan Persekutuan dengan pelbagai persiapan dibuat sebelum memulakan vaksinasi akhir bulan depan,” katanya dalam taklimat kepada media dan pihak berkepentingan yang diadakan secara maya di sini hari ini.

Beliau berkata unit perolehan jabatannya telah memesan peti sejuk suhu ultra rendah (ULTF) dan peti sejuk muatan atas (TLD) untuk menyimpan dua jenis vaksin, iaitu vaksin mRNA dan vektor Viral.

Dr Ismuni berkata kedua-dua jenis vaksin itu memerlukan penyimpanan yang berbeza kerana mRNA yang dihasilkan oleh Pfizer/BioNTech mesti disimpan pada suhu di bawah 70 darjah Celsius manakala jenis vektor Viral daripada Moderna perlu disimpan pada suhu di bawah 20 darjah Celsius.

Labuan mencatatkan 1,980 kes sehingga hari ini dan 110 kes aktif kini dikendalikan di Hospital Labuan.