Jabatan Bekalan Air Labuan Sediakan Tiga Tangki Air Garam Untuk Pembenihan Awan

97

LABUAN: Jabatan Bekalan Air Labuan menyediakan sekurang-kurangnya tiga tangki air kepada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk operasi pembenihan awan di Sarawak hari ini (Khamis).

Bernama dalam laporannya memetik pengarahnya Alvin Michael Lo sebagai berkata tangki itu berisi air garam untuk digunakan pada operasi itu.

“Kami memainkan peranan kami dalam operasi pembenihan awan di Sarawak dengan menyediakan air garam di tiga tangki di loji rawatan air Jalan Kolam sejak malam tadi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sebanyak 7,200 liter air bersih dicampurkan dengan 32 guni garam disediakan kakitangan jabatan itu.

“Pada 8.30 pagi tadi, kami memindahkan tangki campuran air garam ini ke trak kami dan bergerak ke Skuadron 14 Markas Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Membedai, ke tangki MetMalaysia di sana, kami harap ini akan membantu proses (pembenihan awan),” katanya.

MetMalaysia bekerjasama dengan TUDM dan Jabatan Bekalan Air Labuan untuk menjalankan operasi pembenihan awan di Sarawak petang ini.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak juga mengumumkan pesawat TUDM sudah berlepas dari Labuan ke Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong di Sarawak untuk operasi pembenihan awan bagi mengurangkan jerebu di kawasan terbabit.

Kejayaan operasi pembenihan awan bergantung kepada keadaan awan di kawasan terjejas.

Setakat 2 petang tadi, Sri Aman satu-satunya kawasan di Sarawak yang masih merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu 154.