Jabatan Air Kenalpasti Mekanisme Terbaik Tangani Isu Kecurian Air

170
Amarjit Singh menerangkan cara-cara membanteras masalah kecurian dan penyambungan air haram kepada pemberita BorneoToday, Suraidah Roslan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sedang mengenalpasti mekanisme terbaik bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan kepada seluruh penduduk negeri ini.

Pengarah JANS Amarjit Singh berkata, itu antara langkah yang difikirkan boleh membantu menangani masalah kecurian air yang agak berleluasa di negeri ini.

Beliau berkata, berikan beliau tempoh tiga hingga empat bulan ini untuk mengenalpasti mekanisme atau kaedah bersesuaian.

Katanya, langkah penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi untuk membendung masalah kecurian air melalui penyambungan haram.

Tindakan menghukum bukan langkah tepat dalam menangani isu ini kerana semua orang berhak mendapatkan bekalan air.

“Atas sebab itu, kita perlu mengenalpasti kaedah atau pendekatan terbaik untuk menyalurkan bekalan air kepada semua penduduk di Sabah,” katanya ketika berkongsi antara cabaran dihadapi JANS Sabah dengan portal berita BorneoToday.

Amarjit berkata, apabila operasi menangani kecurian air dilaksanakan, beliau percaya pengguna tidak mengambil masa yang lama untuk melakukan penyambungan haram itu semula.

Malah, operasi membanteras kecurian air juga melibatkan kos yang banyak kerana perlu mengupah kontraktor untuk menjalankan pemotongan bekalan air serta perbelanjaan membeli alat penutup paip.

Mengenai hutang yang tidak dikutip JANS, Amarjit berkata, jabatan itu mempunyai hutang tidak berbayar berjumlah RM200 juta.

Berikutan itu, sejak beliau menerajui jabatan berkenaan, beliau memberi fokus dan bertindak agresif dalam memungut hasil serta bayaran bil tertunggak JANS yang selama ini tidak dikutip.

“Sejak Januari sehingga hari ini, JANS berjaya mengutip hasil pembayaran bil sejumlah RM165juta berbanding RM157juta hasil yang dikutip sehingga Ogos tahun lalu. Jika dilihat kita masih berbaki lebih dua minggu sebelum penghujung Ogos.

“Daripada RM255juta hasil yang dikutip tahun lalu, 47 peratus daripadanya dikutip dalam tempoh Ogos hingga Disember, iaitu sejak beliau mula menjadi Pengarah JANS secara rasmi pada Ogos tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, JANS tidak akan memberi ruang kepada mana-mana pengguna yang gagal menjelaskan hutang. Sehingga kini, JANS merekodkan 396,000 pengguna yang mempunyai akaun berdaftar dengan jabatan berkenaan.

Beliau berkata, kos rawatan air begitu tinggi dan sekiranya pengguna tidak menjelaskan hutang bil masing-masing, ia memberi kesukaran kepada jabatan itu untuk beroperasi dengan lebih berkesan.