Jabatan Air Hilang Kredibiliti, Batal Pembinaan Empangan Kaiduan

Gambar Fail - Tujuan mereka untuk lebih mengenali dan mendalami perasaan penduduk dan cara mereka membantah pembinaan empangan Kaiduan.
Gambar Fail – Tujuan mereka untuk lebih mengenali dan mendalami perasaan penduduk dan cara mereka membantah pembinaan empangan Kaiduan.

PENAMPANG – Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) memuji Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana keberaniannya dalam menangkap dan menyiasat Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) kerana didakwa rasuah.

SPRM pada 6 Oktober, mepaparkan barangan dan wang tunai bernilai kira-kira RM114 juta yang didakwa diperolehi dari sogokan yang melibatkan RM3.3 bilion nilai projek persekutuan bermula seawal 2010.

Jannie Lasimbang, Setiausaha JOAS
Lasimbang, Setiausaha JOAS

Pendedahan ini mempersoalkan semua projek-projek dan kontrak sedia ada, yang telah dilaksanakan, atau dalam cadangan oleh JANS, dan khususnya cadangan empangan Kaiduan, kata Jannie Lasimbang, setiausaha JOAS

“Dengan ini, JOAS menyeru Kerajaan Sabah untuk membatalkan pembinaan empangan Kaiduan dengan segera kerana kredibiliti JANS sudah hilang dan khususnya, Teo Chee Kong sebagai Timbalan Pengarah yang telah menerajui usaha untuk memujuk orang ramai untuk bersetuju dengan projek empangan yang berkontroversi,” tambah beliau.

JOAS bersetuju dengan ADUN Moyog, Terrence Siambun, bahawa penyelidikan dan kajian keperluan air di Sabah dan empangan Kaiduan mungkin telah dipengaruhi oleh Pengarah JANS, Awang Mohd Tahir Mohd Talib, yang mewakili Jabatan dalam Majlis Sumber Air Sabah.

JOAS juga amat kecewa dengan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang mengambil ringan perkara tersebut dengan mengatakan bahawa beliau berharap kedua-dua pegawai dapat menjelaskan diri mereka dengan betul kepada SPRM supaya mereka boleh kembali bekerja secara aman selepas siasatan.

“Jika kedua-dua mereka didapati bersalah, Pairin harus meletakkan jawatan sebagai Menteri yang bertanggungjawab langsung kepada JANS,” kata Jannie.